Dakwaan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000, selain boleh dipenjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa dengan enam pertuduhan lain, masing-masing mengikut Seksyen 26(1), 56(1), 90(1), 15(1)A dan Seksyen 66A(2) akta sama serta Peraturan 19 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Pegawai pendakwaan, Joan Lee memohon hukuman penjara atau denda tinggi mengambil kira faktor kepentingan awam, selain rakaman kemalangan itu tular di media sosial.
Katanya, kes itu serius kerana tertuduh memandu tanpa lesen GDL, selain lori tiada cukai jalan dan perlindungan insurans sejak tiga tahun lalu. Ia sepatutnya diharamkan di atas jalan raya kerana berpotensi membawa pelbagai risiko.
“Kemalangan ini menimbulkan implikasi kewangan tinggi kepada pemilik kenderaan rosak teruk, selain kesan trauma terhadap isteri pemandu yang mengandung 29 minggu.
“Walaupun kemalangan tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun insiden terbabit nyaris meragut nyawa pasangan suami isteri terbabit, apabila sebatang kayu balak dari muatan lori dipandu tertuduh terjatuh dan menghempap Toyota Hilux mangsa.”
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia hanya dibayar gaji RM120 mengikut trip dalam sehari, selain mempunyai tanggungan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh hilang kelayakan mendapatkan lesen dalam tempoh 12 bulan dari tarikh sabitan hari ini dan lesen memandu percubaan kelas D miliknya dibatalkan.