Banjir kilat: DBKL laksana 14 langkah interim, kos RM10 juta

oleh Mohamad Hanif|
sumber gambar: SelangorKini
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan 14 langkah interim dengan kos sekitar RM10 juta di bawah Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022 mulai bulan ini bagi mengatasi isu banjir kilat di ibu negara.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata inisiatif tambahan itu dijalankan sebagai langkah segera sebelum penyelesaian jangka panjang yang kini masih dalam kajian Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan dijangka selesai April tahun depan dapat dilaksanakan.

"Kita dah mula ambil tindakan, kita akan lihat kesan 14 langkah ini dalam masa tiga bulan...kerja-kerja yang menyumbang kepada banjir kilat juga akan dikawal selia dengan lebih rapi. "Kita juga sudah lantik pasukan konsultan (IKRAM) untuk kaji keseluruhan sistem saliran di Kuala Lumpur dan punca kerap banjir kilat...ia ambil masa 12 bulan," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata pelan yang akan berpandukan kepada ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia itu membabitkan 25 'hotspot' antaranya Jalan Pintasan Segambut, Jalan Rahmat, Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Maharajalela.

Mahadi berkata tumpuan akan diberikan kepada kerja pemantauan dan pembersihan bagi memastikan saluran keluar air larian ke tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang yang akan dilaksanakan pasukan khas 'Public Service Delivery Team' seliaan DBKL.

Langkah lain, jelasnya termasuk menaik taraf 'scupper drain' bagi memastikan kecerunan saluran air sentiasa memuaskan dan menempatkan jentera dan petugas DBKL di lokasi strategik banjir bagi memudahkan mobilisasi jentera seperti trak tunda, lori pam air bergerak dan pam air berkuasa tinggi ketika kejadian.

Beliau berkata langkah penyuraian trafik juga akan dipertingkat dengan menempatkan lebih ramai warden trafik DBKL serta Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu pengguna jalan raya membuat lencongan ke kawasan tidak terlibat banjir kilat.

Mahadi berkata DBKL juga akan membina 'sump' baharu bagi memastikan saluran air lebih sempurna, memasang guni-guni pasir sebagai langkah interim sebelum 'flood wall' siap dibina dan menjalankan kerja mengeluarkan kelodak di kolam takungan banjir.

Selain itu, katanya DBKL turut akan memastikan tangki 'On Site Detention' milik persendirian berfungsi dengan baik serta melantik kontraktor bagi memastikan sungai dan saluran air tidak dihalang sampah, akar pokok dan tumbuhan liar.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang menggunakan lebih banyak 'Stone Mastic Asphalt' untuk turapan jalan yang lebih meresap air, memperbanyak aktiviti 'plogging' (jogging dan kutip sampah), mengisytihar lebih banyak 'Zon Bebas Sampah' serta mengeluarkan mesej amaran banjir kilat menerusi Sistem Pesanan Ringkas kepada warga kota.

"DBKL menyeru semua warga untuk memberi kerjasama bagi melaksanakan pelan ini dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat khususnya ke dalam sistem saliran.

"Warga kota juga boleh beri maklum balas dan cadangan kepada DBKL, kita sentiasa mengambil maklum dengan maklum balas diberi menerusi media sosial, " katanya.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV) di Pusat Info Trafik dan Kawalan…
Informasi
  "Kita akan lihat lebih terperinci berkenaan pelaksanaan tidal flow di laluan Lebuhraya Seremban-…
Berita Domestik
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata langkah itu merupakan satu kaedah…