Bantuan Subsidi Petrol - kini diperluas kepada kereta bawah 1,600 cc, motosikal bawah 150 cc!

oleh Mohamad Hanif|
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan beberapa garis panduan berkenaan program subsidi petrol yang diumumkan hari ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sebanyak 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) aka mendapat manfaat daripada Program Subsidi Petrol yang dilancarkan pada kerajaan hari ini melibatkan tanggungan bernilai RM65.4 juta sebulan.

Pun begitu, hanya penerima BSH yang beralamat di Semenanjung, dan memiliki kenderaan atas nama dan cukai jalan sah sahaja yang layak menerima Program Subsidi Petrol bermula 1 Januari 2020. 

Tidak seperti yang diumumkan sebelum ini, pemilik kereta bersesaran 1,600 cc ke bawah layak menerima RM30 subsidi sebulan, manakala pemilik motosikal 150 cc layak menerima RM12 sebulan.

Bagi mereka yang memiliki kenderaan melebihi sesaran 1,600 cc dan motosikal melebihi 150 cc juga layak untuk mendapatkan subsidi dengan syarat kenderaan itu masing-masing berusia sekurang-kurangnya 10 tahun dan tujuh tahun.

Untuk golongan OKU pula, kata Saifuddin, mereka boleh mendapat subsidi berkenaan untuk kenderaan masing-masing.

Katanya, penerima BSH yang memiliki lebih daripada satu kenderaan, mereka hanya layak mendapat satu subsidi saja.

"Antara kereta atau motosikal, kita bayar subsidi yang lebih tinggi," katanya.

Bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun penerima setiap empat bulan sekali. 

 


Menyentuh soal harga bahan api, harga jualan RON95 akan diapungkan manakala penyelarasan harga akan dilakukan secara beransur-ansur. 

Harga jualan RON95 buat masa ini masih kekal di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala kaedah pengapungan harga RON95 pula akan diumumkan setelah perbincangan dibuat diperingkat kabinet, manakala pemberian subsidi akan dihentikan sekiranya harga jualan semasa turun kepada RM2 seliter. 

Saifuddin juga menjelaskan maklumat lanjut mengenai Program Subsidi Petrol di laman pautan: psp.kpdnhep.gov.my dan semakan boleh dibuat mulai 15 Okt ini.

"Ini merupakan kali pertama kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar.

"Saya berminat sangat memperluaskan program subsidi ini kepada golongan M40 pada masa akan datang," katanya.