Baojun Yep - SUV elektrik saiz kecil, 67 hp, jarak gerak 303 km, dari RM52k di China

oleh Mohamad Hanif|
Kereta elektrik bersaiz kecil (dan murah) ternyata sangat popular di pasaran China, dan syarikat kerjasama SAIC-GM-Wuling cuba mewujudkan segmen baharu menerusi pelancaran SUV elektrik kecil Baojun Yep.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Yep, atau lebih dikenali dengan nama YueYe di China muncul buat kali pertama di Shanghai Auto Show April yang lalu, dan kini ia mula dijual secara rasmi dengan harga bermula dari 79,800 yuan (RM51,616) hingga 89,800 yuan (RM58,085).

Dari segi ukuran, Baojun Yep membawakan dimensi sepanjang 3,381 mm, lebar 1,686 mm, dan tinggi 1,721 mm dengan berat sekitar 1,006 kg sahaja.
 

Baojun


Meskipun bersaiz lebih kecil berbanding Suzuki Jimny, Baojun Yep boleh memuatkan sehingga empat orang penumpang pada satu-satu masa.

Untuk mereka yang mementingkan ruang, tempat duduk belakang boleh dilipat untuk mewujudkan ruang kargo sebesar 715 liter, serta terdapat storan tambahan di bahagian bonet hadapan lengkap dengan fungsi pemanasan dan penyejukan.
 

baojun


SUV kecil ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 67 hp dan 140 Nm dengan kelajuan maksimum 100 km/j, sementara pek bateri pula berkapasiti 28.1 kWh, cukup untuk membenarkan pemanduan sejauh 303 km untuk sekali cas penuh.

Disebabkan kapasiti bateri yang agak kecil, pengecasan 30 hingga 80 peratus boleh diselesaikan dalam masa 35 minit sahaja.

Reka bentuk luaran Baojun Yep ini mengingatkan kita pada SUV Suzuki Jimny, dengan rekaan arca roda lebar, serta bampar depan dan belakang yang tahan lasak.
 

baojun


Bahagian depan Baojun Yep dipasangkan dengan unit lampu LED beserta jeriji kosong tanpa sebarang bukaan, sementara bahagian belakang pula menempatkan unit lampu LED dan kehadiran skrin paparan pada pintu tailgate untuk memaparkan mesej kepada pemandu lain.

Konsep berkotak itu turut diterapkan pada ruang kabin, boleh dilihat pada rekaan papan pemuka dengan corong pendingin hawa berbentuk segi empat, diikuti dengan sepasang skrin bersaiz 10.25 inci, dan roda stereng yang lengkap dengan butang fungsi.

Selain itu, Baojun turut menawarkan beberapa kemasan warna ruang dalaman yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa pembeli.