Bapa dan Anak Perempuan Maut

oleh Qalif Latif|
Sebuah Toyota Hilux yang membawa sekeluarga enam orang terbabas dan terjunam ke dalam gaung berhampiran Kampung Kwongsai, Jalan Segamat-Labis.

Dalam kejadian sekitar jam 6.47 petang itu, dua mangsa dikenalpasti maut di lokasi – Mohd. Fitri Md. Said, 37 tahun, dan anak perempuannya, Nurin Insyirah yang berusia sembilan tahun.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, PBK II Zainal Abidin Che Deraman, pacuan empat roda tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.

"Pihak kami menggunakan peralatan khas seperti hydraulic ramp untuk menstabilkan kenderaan dan mengeluarkan mangsa yang berada di bawah," jelas beliau.

Tiga lagi anak pasangan tersebut Muhammad Zikri, 11 tahun, Nur Husna, 4 tahun, dan Nur Atiya, 2 tahun serta ibu mereka, Nurain Farhana Johari, 32 tahun, mengalami kecederaan. Mereka sempat keluar sendiri dari kenderaan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Mayat kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketika ini, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Saya berharap pihak polis menyelesaikan siasatan kes itu secepat mungkin, dan pemandu terbabit…
Berita Domestik
Beliau berkata, pihaknya memandang serius setiap kes kemalangan maut yang berlaku dan tidak akan…
Berita Domestik
Menurutnya, hasil kajian mendapati faktor utama peningkatan kemalangan maut adalah disebabkan…