Bayaran muka RM0 salah! - KPDNHEP

oleh Mohamad Hanif|
AION MREC Banner Campaign May 2024

TINDAKAN syarikat menjual kenderaan baru dan terpakai yang menawarkan penjualan tanpa deposit kepada pelanggan adalah menyalahi undang-undang negara ini.

Taktik yang digunakan kebanyakan syarikat penjual kereta itu semata-mata mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan memanipulasi pelanggan mereka.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Azman Adam berkata, tawaran ‘zero downpayment’ itu akan menarik lebih ramai pembeli kerana tidak perlu menyediakan simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kenderaan berkenaan.

“Ada antara penjual kereta dikesan memanipulasi harga menerusi ciri dan reka bentuk kereta sebelum menawarkan kaedah pembelian tanpa deposit kepada pelanggan.

“Jika pembeli ditetapkan membayar 10 peratus wang pendahuluan daripada harga kenderaan, ia menunjukkan keupayaan pembeli untuk membayar harga bulanan dan juga mampu mengurangkan komitmen bulanan pembeli.

“Selain itu, ia dapat mengelak pembeli disenarai hitam atau diisytihar bankrap sekiranya bayaran bulanan tinggi,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan Akta Sewa Beli (ASB) 1967, pembeli perlu membayar tidak kurang daripada satu persepuluh harga tunai kenderaan yang termaktub dalam perjanjian.

“Syarikat yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1) ASB 1967,” katanya.


Menurut Azman, pihaknya menjalankan Ops 0% ASB 1967 di seluruh Selangor dengan melakukan pemeriksaan terhadap 35 syarikat menjual kenderaan semalam.

“Operasi itu dilakukan selepas mendapati tawaran pembelian tanpa deposit semakin berleluasa demi menarik keuntungan lumayan.

“Hasil operasi itu, kita mendapati 11 syarikat melanggar peraturan kerana tidak mengambil deposit kurang 10 peratus.

“Semua syarikat yang melanggar peraturan itu diarah berhenti mempromosikan iklan ‘zero downpayment’ itu dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan,” katanya. 

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Informasi
  Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli 1967 dan mereka…