Bekas pengerusi Mitsubishi Motors meninggal dunia akibat kegagalan jantung

oleh Mohamad Hanif|
Bekas pengerusi Mitsubishi Motors, Osamu Masuko dilaporkan meninggal dunia pada Khamis lalu akibat kegagalan jantung berfungsi. Beliau berumur 71 tahun ketika menghembuskan nafas terakhir.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau sebelum ini meletakkan jawatan sebagai pengerusi Mitsubishi Motors pada Ogos lalu atas alasan kesihatan.

Sebagai seorang veteran di dalam syarikat konglomerat Jepun itu, Masuko menyertai Mitsubishi Motors pada tahun 2004, dan kemudian menjadi presiden pada tahun berikutnya.

Ketika di bawah pemerintahan Masuko, Mitsubishi Motors pada ketika itu mengalami tahun yang sukar akibat krisis kewangan yang disebabkan oleh penarikan kembali berjuta-juta kenderaan yang rosak.

Pada tahun 2014, Masuko dinamakan sebagai pengerusi dan CEO, sebelum akhirnya meletakkan jawatan CEO pada tahun lalu dan digantikan oleh Takao Kato yang sebelum ini menjadi presiden operasi Mitsubishi Indonesia.

Tahun-tahun sukar Mitsubishi berakhir selepas Masuko mengadakan rundingan dengan bekas presiden Nissan Motor Carlos Ghosn, di mana Nissan membeli satu pertiga daripada saham Mitsubishi.

Masuko menghabiskan tahun-tahun akhirnya di Mitsubishi dengan memfokuskan kepada insiatif memperkasakan operasi mereka menerusi pakatan Nissan-Renault-Mitsubishi.

Dalam satu pelan perniagaan yang dibentangkan pada Julai lalu, Mitsubishi mendedahkan perancangan untuk menghentikan pengenalan produk baharu di Eropah bagi memfokuskan perniagaan mereka di Asia Tenggara.

Kesan daripada pandemik coronavirus, Mitsubishi menjangkakan kerugian bersih sebanyak 360 billion yen (RM14 billion) untuk tahun fiskal ini.

Sumber: Asian Nikkei Review