Beli enam helikopter AS$76.4 juta sejak 2016 tapi tak sampai-sampai, di mana silapnya?

oleh SALINA JALIL|
Pada awal 2016, Malaysia telah memesan helikopter MD530G di bawah kontrak yang dianggarkan bernilai AS$76.4 juta. Ia untuk enam buah helikopter yang dikategorikan sebagai helikopter tempur ringan.

Pihak kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada 2017 menyatakan komitmen untuk menyokong perolehan itu dengan sokongan latihan.

Helikopter jenama MG530 lebih dikenali sebagai Little Bird atau burung kecil. Perjanjian perolehan dibuat dengan kerajaan melantik sebuah firma tempatan, sebagai perantara antara pihak kerajaan dan firma pengeluar pesawat tersebut iaitu MD Helicopters Incorporated (MDHI).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Namun, apabila firma yang pertama tidak dapat membuat penyerahan mengikut tempoh yang diberikan, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada sebuah lagi firma pertahanan untuk meneruskan perolehan serta memastikan enam helikopter berkenaan akan dapat dimiliki Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD)

 

Enam helikopter MD530G Light Scout Attack sepatutnya diterima dalam dua fasa, dengan dua pada Julai 2017 dan empat lagi sebelum Disember 2018.

 

Pada November 2019, Kementerian Pertahanan menjelaskan kelambatan penghantaran aset itu ekoran pelbagai isu teknikal berkaitan syarikat pembuat asal (OEM). Isunya adalah pertelingkahan antara firma MDHI dengan sebuah lagi firma aeroangkasa gergasi AS. Ia bukanlah isu baharu.

 

Kedua-dua firma sebenarnya mempunyai jalinan kerjasama untuk menghasilkan produk asasnya – kerangka milik MDHI, namun diubahsuai dengan komponen lebih berkuasa tinggi keluaran firma Boeing bagi menghasilkan sistem helikopter baharu jenama Boeing iaitu AH-6i.

 

 

Antara April 2016 hingga November 2016, MDHI gagal memenuhi penghantaran kerangka pesawat kepada Boeing mengikut tarikh dipersetujui antara kedua-dua pihak. Sebanyak 16 kerangka telah mengalami kelewatan daripada tarikh kontrak, dengan purata kelewatan adalah 150 hari.

 

Kerangka pesawat terakhir iaitu kerangka no24 sampai kepada pihak Boeing dengan beberapa komponen didapati ‘hilang’.

 

Ia mengakibatkan berlakunya pertelingkahan dengan MDHI yang menyatakan bahawa ia berbuat demikian kerana Boeing tidak membayar kos kerangka yang telah dihantar. Boeing pula menegaskan pembayaran akan hanya dibuat setelah semua kerangka pesawat dihantar dengan sempurna.

 

Kedua-dua pihak membawa perkara itu ke mahkamah. Pada Februari 2020, mahkamah AS memutuskan Boeing berhak mendapatkan peralatan mesin, lukisan kejuruteraan dan kelengkapan lain berkaitan helikopter AH-6i serta mengarahkan MDHI tidak lagi boleh menyekat aktiviti Boeing dalam menghasilkan helikopternya, selain membayar kos undang-undang USD11 juta.

 

 

Berhadapan pelbagai isu menyebabkan MDHI mendapati sukar memenuhi tempoh masa penghantaran helikopter yang telah dipersetujui dengan pelanggannya. Program-program baharu juga terpaksa ditangguhkan.

 

Dengan kekalahan di mahkamah berkaitan hak terhadap pesawat helikopter tempur ringan AH-6i, diikuti pandemik, keadaan MDHI dilihat semakin terdesak. Akibat langsung adalah sebahagian tenaga kerja terpaksa diberhentikan.

 

Ia mungkin antara penyebab kenapa pesawat MD530G yang dibeli oleh negara masih gagal untuk hinggap di Malaysia. Malah, pada Mac 2020, Panglima Tentera Darat pernah memberi bayangan bahawa pesawat pertama bakal diterima paling awal penghujung tahun tersebut.

 

Pada masa hampir sama, Kenya telah memesan 12 helikopter MD530F pada Mei 2017 dan pada Februari 2020, enam daripada pesawat tersebut telah berjaya diterima. Perolehan itu adalah melalui program Foreign Military Sales atau FMS.

 

FMS ialah program tentera darat AS yang akan menjual pesawat dengan pakej istimewa kepada negara-negara sahabat.

 

Tentera darat AS telah membeli 150 pesawat MD530 pelbagai versi untuk program selama lima tahun bernilai USD1.4 bilion bagi memenuhi permintaan negara-negara sahabat yang memerlukan helikopter tempur ringan.

 

Lubnan pada 2018, sebuah lagi negara yang telah memesan pesawat MD530F. Sehingga hari ini ia telah pun menerima kesemua 12 pesawat yang dipesan.

 

Bagi pesawat untuk Malaysia, entah di mana silapnya, orang yang memesan pesawat lebih lewat telah mendapatkan pesawat mereka, namun kita masih mencari-cari jawapan kenapa burung kecil masih tidak hinggap di Malaysia.

 

Laporan dari Sinar Harian * Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007