Untuk memastikan penawaran Bentley Bentayga lebih menarik, Bentley telah melancarkan empat pakej aksesori yang terdiri daripada Exterior, Interior, Touring dan Protection.
Jika dilihat kepada pakej Exterior, ia didatangkan dengan beberapa aksesori menarik seperti kemasan gentian karbon berkilat pada cermin sisi, kemasan krom yang digantikan dengan warna hitam, serta ekzos sport Akrapovič.
Menurut Bentley, ekzos Akrapovič ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti bunyi yang terhasil daripada enjin 4.0 liter V8 dengan not ekzos yang lebih garang, dan diperbuat daripada titanium gred tinggi.
Namun, harus diingat penawaran aksesori ekzos ini hanya boleh didapati di Amerika Syarikat, Kanada, Puerto Rico, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE.
Selain daripada itu, pakej lain seperti Interior menawarkan kusyen balutan kulit, perehat kaki tambahan untuk penumpang baris kedua serta beg bagasi bespoke.
Sementara pakej Touring pula menawarkan aksesori bersifat praktikal, seperti pengurusan ruang kargo di bahagian belakang, kotak bumbung, pengangkut basikal yang mampu memuatkan sehingga tiga basikal, serta storan bumbung untuk ski/snowboard.
Tidak ketinggalan, pakej Protection yang terdiri daripada penutup kenderaan, alas lantai jenis heavy-duty dan mud flap, serta perlindungan tambahan daripada kelembapan dan habuk.