Ia membawakan nadi bentangan V8 crossplane 4.0 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan 542 hp dan daya kilas 770 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Dengan sistem pacuan semua roda AWD, Continental GT S ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 4.0 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 318 km/j.
Varian GT S membawakan impresi yang lebih sporti, disumbangkan oleh trim Blackline Specification yang menggantikan warna krom cerah dengan kemasan hitam berkilat pada sesetengah tempat, diikuti rim baharu bersaiz 22 inci juga dalam kemasan hitam berkilat atau Pale Brodgar Satin.
Terdapat juga pilihan rim tri-spoke bersaiz 21 inci yang turut didatangkan dengan kemasan hitam berkilat dan bright machined yang unik untuk GT S.

Sementara ruang kabin pula membawakan warna dua tona yang unik menggandingkan bahan Dinamica pada roda stereng, tombol gear, kusyen dan bahagian belakang, sementara bahan kulit boleh didapati pada trim pintu, bolster tempat duduk, panel instrumen dan konsol.
Tema kelajuan ditampilkan pada panel instrumen pemandu yang membawakan grafik khas yang sama seperti Continental GT Speed, emblem S pada penghadang kepala, serta lencana logam S pada ambang pintu yang bercahaya.

Menyumbang kepada kestabilan pemanduan ialah ciri kawalan olengan aktif 48-voltan Bentley Dynamic Ride yang berterusan melarasakan bar anti-oleng untuk mengurangkan pergerakan badan.
Bentley Continental GT S kini boleh ditempah pada harga bermula dari RM1,059,000 tidak termasuk cukai dan pendaftaran.