Bentley Continental GT Speed boleh 'drift' dan ini caranya!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Bentley Continental GT Speed Drift
Bentley Continental GT Speed Drift
Kereta sekarang ini memang canggih dengan segala macam sistem elektronik. Tujuannya bukan untuk mendatangkan bosan kepada pemandu tetapi supaya lebih selamat di jalan raya.

Walaupun begitu ada pengeluar yang prihatin terhadap kehendak pemilik dan fungsi seperti kawalan cengkaman boleh dinyahaktif untuk dipandu di litar.

Model begini biasanya jenis berprestasi dan berharga tinggi.

Ada juga model kebanyakan yang mempunyai fungsi sama tetapi dihadkan pada kelajuan tertentu sebelum kawalan cengkaman elektronik diaktifkan kembali.

Satu lagi persoalan yang mungkin bermain di minda ialah kereta mahal boleh tak drift?

Dah beli kereta mahal kenapa nak drift? Citarasa pengguna tidak kesemuanya sama dan jika boleh kenapa tidak?
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Bentley Continental GT Speed Drift

 

Satu daripada model mahal yang mempunyai kemampuan drift ialah Bentley Continental GT Speed. 

Varian Speed dari Bentley bukan setakat mewah tetapi berprestasi tinggi.

Kemampuan tersebut dibuktikan melalui satu rakaman video rasmi dari Bentley dengan aksi drift GT Speed.

Rakaman itu dibuat di satu pangkalan udara NATO yang terbiar di Sicily, Itali dan mempamerkan skop prestasi GT Speed.

Jadi apa rahsia GT Speed sehingga boleh drift?

 

Bentley Continental GT Speed Drift

 

Sebenarnya tiada rahsia apa pun, GT Speed memang dibangunkan untuk prestasi dengan casis yang fokus pada dinamika dan hantaran tork cenderung (bias) kepada roda belakang.

GT Speed menggunakan enjin W12 5950 cc berkuasa 650 hp dan tork 900 Nm.

Di dalam kebanyakan keadaan, kuasa tinggi tersebut dihantar kepada roda belakang jadinya memang boleh sangat atau 'wajib' GT Speed untuk drift.

Selain itu, teknologi seperti Electronic Limited Slip Differential (eLSD), all-wheel steering dan Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC) baharu membolehkan GT Speed untuk mengambil selekoh dengan jitu dan berkeyakinan.

Untuk lebih memahami Bentley Continental GT Speed berikut kami senaraikan keupayaannya:

Electronic all-wheel steering

 

Bentley Continental GT Speed Drift

 

Teknologi ini membolehkan stereng dikunci sehingga empat darjah pada roda belakang.

Pada kelajuan rendah dan sederhana, roda belakang akan berputar mengikut arah berlawanan roda depan supaya arah kereta dapat ditukar dengan pantas.

Stereng terasa lebih jitu dan dengan nisbah (ration) lebih pantas ianya meningkatkan rasa (feel) stereng dan pemandu akan terasa lebih yakin.

Pada kelajuan tinggi, roda belakang akan mengikut arah roda depan dan mempertingkatkan kestabilan.

Electronic limited slip differential (eLSD)

 

Bentley Continental GT Speed Drift

 

Ini teknologi yang pertama kali digunakan oleh Bentley. eLSD pada GT Speed ditala secara bersama dengan kawalan cengkaman dan sistem casis aktif.

Teknologi ini meningkatkan keupayaan lateral (sisi), memperbaiki kestabilan longitud (membujur), mempertingkatkan pelarasan pendikit dan memberikan lebih cengkaman pada keadaan jalan yang mencabar.

Di dalam kesemua mod pemanduan eLSD memberikan lebih keyakinan kepada pemandu dan menjadikan GT Speed rasa lebih stabil pada kelajuan tinggi.

Ketika berada dalam mod SPORT, eLSD ditala untuk memberikan keseimbangan semasa on dan off pendikit, memperbaiki respon membelok (turn-in) dan meningkatkan prestasi di laluan lurus.

Pembahagian tork

 

Pangkalan udara NATO

 

Pembahagian tork GT Speed boleh berubah-ubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Di dalam mod COMFORT dan BENTLEY, sistem menghantar sehingga 36 peratus tork kepada gandar depan dan sehingga 400 Nm kepada roda depan bagi menangani pembelokan lebih (oversteer).

Di dalam mod SPORT, sistem menghadkan kuasa tork kepada gandar depan sebanyak 28 peratus.

Tetapan itu dibuat bagi mengekalkan daya tork tinggi pada gandar belakang untuk rasa yang lebih dinamik.

Mod SPORT juga bertindak secara berbeza terhadap pembelokan lebih dan hanya sekitar 1/10 tork dihantar kepada roda depan.

Brek gentian seramik (carbon ceramic)

GT Speed menggunakan cakera brek depan gentian seramik berukuran 440 mm dengan angkup sepuluh omboh.

Ini adalah brek paling besar pernah dipasang pada kenderaan Bentley dan juga brek kereta terbesar di dunia.

Menariknya, brek itu 35 kg lebih ringan berbanding sistem brek besi.

Satu lagi yang menarik ialah bahan digunakan adalah jenis geseran bebas tembaga untuk mengurangkan impak pada alam sekitar.

ESC boleh dihidupkan dan nyahaktif

 

Bentley Continental GT Speed Drift

 

Apabila Sistem Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC) diaktifkan, sistem akan memastikan kereta menjadi stabil pada beberapa keadaan seperti cuaca buruk, permukaan tidak rata dan kamber tidak normal.

Di dalam mod Dynamic, sistem akan memberikan kebebasan kepada pemandu untuk 'berkarya' dengan menetapkan sendiri kereta semasa di selekoh.

Satu lagi keadaan luar biasa ialah apabila ESC dinyahaktif dan pemandu akan merasa karakter buas GT Speed. 

Pada mod tersebut, All-Wheel Steering dan eLSD akan tetap berfungsi dan terpulang kepada pemandu untuk seimbangkan kereta menggunakan pendikit dan stereng.

Mana tidak hebatnya, kuasa tinggi dan tork pula bias kepada roda belakang!

Penulis: Muhammad Md Tajudin