Bentley Continental Supersports Bakal Kembali – Teaser Pertama Didedahkan

oleh Qalif Latif|
Bentley telah mengesahkan kehadiran semula nama ikonik Continental Supersports melalui satu teaser rasmi yang memaparkan bahagian belakang coupe mewah mereka. Model ini dijangka menjadi antara jentera paling ekstrem dalam barisan Continental, sekaligus membuka lembaran baharu kepada pendekatan lebih “hardcore” di bawah kepimpinan CEO baharu, Dr. Frank Steffen Walliser.

V8 Kuasa Besar, Pacuan Belakang

Laporan awal daripada Autocar mendedahkan bahawa Supersports kali ini bakal tampil dengan enjin 4.0 liter V8 twin turbo berkuasa sekitar 640 hp, tanpa sistem hibrid, dan buat pertama kali dalam sejarah Continental menggunakan rear wheel drive (RWD) sepenuhnya. Langkah ini menjadikannya model paling berkuasa dalam platform pacuan belakang yang turut dikongsi dengan Porsche Panamera.

Tradisi Supersports

Nama Supersports pernah digunakan dua kali sebelum ini pada Continental GT generasi lama. Ketika itu, ia menampilkan enjin W12 twin turbo dengan talaan lebih berkuasa berbanding model biasa. Namun, dengan berakhirnya era W12, barisan Continental kini hanya ditawarkan dengan V8. Supersports terbaharu ini sekaligus menjadi pengganti semangat lama dengan formula baharu yang lebih fokus pada prestasi tulen.

Inspirasi Motorsport

Walliser, yang sebelum ini bertanggungjawab ke atas pembangunan Porsche 918 Spyder, pengurusan Motorsport Porsche, dan model 718 serta 911, jelas mahu mengembalikan aura perlumbaan ke dalam DNA Bentley. Beliau dilaporkan merancang lebih banyak model berorientasikan prestasi selepas ini.

Sebelum ini, Bentley pernah memperkenalkan GT3 R (2014-2015) yang menyingkirkan tempat duduk belakang, menggunakan V8 lebih ringan, dan dipadankan dengan spoiler gentian karbon. Model tersebut diinspirasikan daripada kereta lumba Continental GT3.

Mengangkat Warisan Prestasi

Walaupun Bentley terkenal dengan kereta mewah, sejarahnya dalam dunia perlumbaan tidak boleh dipandang ringan. Jenama ini pernah menjuarai 24 Hours of Le Mans sebanyak enam kali iaitu lima kemenangan berturut-turut pada 1924 hingga 1930, serta satu lagi pada 2003. Sejak pengambilalihan oleh Volkswagen Group pada 1998, Bentley semakin agresif menonjolkan sisi prestasi.

Debut Menjelang Hujung Tahun

Menurut laporan, Bentley akan melancarkan Continental Supersports serba baharu ini sebelum akhir tahun. Dengan reputasi Dr. Walliser serta asas pemanduan Continental GT sedia ada yang sudah mantap, ramai menjangkakan ia bakal menjadi model Bentley RWD paling berkuasa dan paling fokus kepada pemandu dalam sejarah moden.

Sumber: Motor1.com