SUV Paling Kompak Dalam Barisan Bentley
Model baharu ini diposisikan di bawah Bentayga dengan panjang kurang daripada 5 meter menjadikannya SUV paling kecil dalam barisan Bentley setakat ini. Walaupun lebih padat rekaan luaran jelas dipengaruhi konsep EXP 15 menampilkan bentuk monolitik, siluet rendah dan perkadaran tegas yang menyerlahkan identiti baharu Bentley.

Platform Dari Porsche & Audi
SUV elektrik ini dibangunkan menggunakan platform PPE (Premium Platform Electric) hasil kerjasama Porsche dan Audi. Justeru ia dijangka mempunyai pertalian rapat dengan Porsche Cayenne Electric. Cayenne versi elektrik hadir dengan konfigurasi pacuan semua roda dwi motor berkuasa 400 bhp sehingga 805 bhp malah hampir 1000 bhp apabila menggunakan mod launch control. Ia turut dilengkapi bateri 108 kWh yang mampu memberi jarak pemanduan sehingga 600 km (373 batu) dengan keupayaan pengecasan pantas sehingga 400 kW.
Walaupun Bentley belum mendedahkan spesifikasi penuh dimensi yang hampir sama dengan Cayenne memberi gambaran potensi perkongsian teknologi yang signifikan.

Strategi Elektrifikasi Yang Lebih Seimbang
Kemunculan SUV elektrik ini berlaku hanya sehari selepas CEO Bentley Frank Steffen Walliser mengesahkan bahawa penstrukturan semula pelan EV Porsche akan turut memberi kesan kepada Bentley. Beliau menjelaskan bahawa Bentley masih mengekalkan komitmen melancarkan model baharu berkuasa plug in hybrid atau elektrik sepenuhnya setiap tahun bermula 2026.
Namun begitu Walliser menekankan keperluan menyeimbangkan penawaran kuasa bagi menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran mewah yang masih perlahan menerima EV sepenuhnya:
“Permintaan untuk kenderaan elektrik mewah masih belum cukup kukuh bagi menyokong strategi serba elektrik. Pasaran mewah hari ini jauh berbeza berbanding ketika kami mengumumkan pelan Beyond100. Elektrifikasi masih matlamat kami tetapi kami perlu membawa pelanggan bersama dalam perjalanan ini,” katanya.
Peranan Bentayga & Model Lain
Langkah ini dijangka membolehkan model sedia ada seperti Bentayga, Continental GT dan Flying Spur terus ditawarkan dengan pilihan enjin petrol tulen di pasaran tertentu berbanding rancangan asal untuk hanya menawarkan varian PHEV. Namun SUV baharu ini akan ditawarkan eksklusif dalam bentuk elektrik sementara Bentayga kekal sebagai satu satunya SUV Bentley dengan pilihan enjin pembakaran dalaman.
Dengan pengenalan model ini Bentley bukan sahaja menambah pilihan dalam segmen SUV mewah tetapi juga menandakan permulaan era baharu elektrifikasi penuh bagi jenama yang sinonim dengan prestij dan kemewahan.

Sumber: Autocar