Ada antaranya begitu teruja kerana baru pertama kali berpeluang berbuat demikian (hadir sendiri ke acara automotif) sejak Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman mengeluarkan perintah pembubaran undang-undang itu September tahun lalu.
Menurut salah seorang pengunjung yang ditemui hadir ke pameran berkenaan, Ghada al-Ali berkata, dia sememangnya meminati kereta sejak dahulu lagi cuma tidak berpeluang memandu ekoran kekangan dari aspek undang-undang sebelum ini.
"Sekarang, saya lebih berminat ke arah itu (memandu kereta) malah merancang untuk membeli sebuah kenderaan untuk dirinya sendiri.
"Cuma saya berharap harga yang ditawarkan tidak terlalu mahal," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung lain, Sharifa Mohamad pula berkata, penganjuran pameran seperti ini adalah disifatkan sebagai satu perkembangan positif buat golongan wanita sendiri sebenarnya.
"Jika diteliti, penganjuran pameran automotif ini lebih memfokuskan untuk golongan wanita. Lihat sahaja di sekeliling, jurujual di sini juga (Le Mall) terdiri daripada wanita dan pengunjungnya juga adalah wanita.
"Ini jelas membuktikan usaha kerajaan Arab Saudi untuk mempertahankan hak asasi dan kesamaan antara manusia khususnya golongan wanita," jelas Sharifa lagi.
Dalam perkembangan sama, penganjuran pameran automotif pertama wanita itu turut mendapat reaksi positif orang ramai.
Nampaknya, era pemerintahan baru Arab Saudi ini bakal membawa trend perubahan yang pastinya lebih progresif pada masa hadapan.
Terdahulu, negara yang masih terikat dengan ajaran aliran Wahabi itu sebelum ini diberitakan menguatkuasakan peraturan melarang golongan wanita memandu kereta atas alasan menjaga maruah dan keselamatan golongan itu.
Khabarnya, jika golongan berkenaan (wanita) dibenar memandu kereta akan mendedahkan mereka kepada kegiatan tidak bermoral selain turut membahayakan ovari mereka.
Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Tiada fakta sahih mengenainya ditemui.