Berlagak marshal - Tujuh individu didakwa

oleh SALINA JALIL|
Tindakan tujuh orang lelaki yang berlagak sebagai marshal sehingga menghalang lalu lintas akhir tahun lalu membawa padah apabila kesemua mereka didakwa di Mahkamah Majistret di Port Dickson semalam.


Ezy Effandy Mohd. Harif, 46, yang merupakan ahli perniagaan bersama rakannya, Mohammad Zaini Mohamed, 50, ejen insurans, didenda RM1,500 oleh pihak mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memotong kenderaan lain ketika berada di garisan berkembar.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Majistret, V.Vanita turut menetapkan hukuman empat bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda dan kedua-dua mereka diwakili peguam Eric Yeow Kok Heng dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu yang menunggang motosikal berkuasa tinggi didapati telah memotong kenderaan lain di laluan jalan raya bergarisan kembar yang bertentangan dengan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59(Kaedah 12(3)(A) – (Kesalahan di garisan berkembar).

 

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.10 pagi di Sungai Raya – Tanjung Agas, di sini pada 5 Disember 2021.

 

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama.

 

Sebahagian daripada tujuh lelaki yang berlagak sebagai marshal didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson - gambar Utusan

 

Dalam prosiding sama, kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menimbulkan ketidakselesaan dan aksesori kenderaan mereka boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

 

Kesalahan itu dilakukan pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dengan masing-masing didakwa mengikut Seksyen 48(1) APJ 1987 dan Seksyen 119 (2) APJ 987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama.

 

Mahkamah menetapkan setiap OKS diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan kes akan disebut semula 8 Februari depan untuk serahan dokumen.

 

Mohammad Zaini turut didenda RM400 selepas mengaku bersalah atas dakwaan menggunakan pelekat berlambang Unit Tindakan Khas (UTK) milik Polis Diraja Malaysia yang bertulis ‘Tangkas, Banteras, Ganas’ iaitu kesalahan di bawah Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967.

 

Sebelum ini, pada 7 Disember lalu media melaporkan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam rakaman aksi marshal seperti yang tular dalam sebuah video di Facebook ditahan ketika menyerah diri di Balai Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

 

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, lima lelaki mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menghalang lalu lintas.

 

Mengikut pertuduhan, A.Vinoth, 27; K.Lohansharma, 27; S. Kumaran, 31; R.Devah, 27, dan A.Siva Perunal, 48, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi didakwa menahan kenderaan lain ketika berada di lampu isyarat yang mana perbuatan itu membahayakan keselamatan orang lain.

 

Kelima-lima mereka yang bekerja sebagai pemandu lori, penghantar surat dan penyelia melakukan kesalahan itu pada pukul 5.45 petang di lampu isyarat Sua Betong pada 20 November 2021.

 

Mereka turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan pada masa, tarikh dan lokasi sama menyebabkan ketidakselesaan tidak wajar kepada pengguna jalan raya lain, tidak berhenti di lampu isyarat merah dan menghalang kebebasan lalu lintas dengan memberhentikan motosikal di tengah aliran trafik.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala kelima-lima OKS diwakili peguam, K.Sheela.

 

Mahkamah menetapkan kelima-lima mereka dikat jamin sebanyak RM3,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes akan disebut semula 9 Februari depan.

 

 

 

Utusan Malaysia