Bern AirBrush - dulu jual burger, kini pakar airbrush Kuantan!

oleh Careta.my|
Dalam bidang modifikasi dan custom kenderaan, menggunakan corak atau design yang dilukis menggunakan air-brush adalah antara perkara lazim yang digunakan. Namun apa yang menjadikan ia istimewa ialah kepakaran melukis yang dimiliki oleh si pembuat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk warga Kuantan dan sekitarnya, mereka ada Mohd Firdaus Ahmad atau lebih dikenali sebagai Bern. Anak jati Kuantan, Bern yang kini berusia 36 tahun bersekolah di SK Batu Tiga di Jalan Kuantan-Gambang dan di Sekolah Menengah Vokasional Muadzam Shah.

Selepas tamat persekolahan, Bern mengambil kursus Sains Komunikasi di Kolej Yayasan Pelajaran Mara di Kuala Lumpur. Kurang peluang pekerjaan di Kuantan, Bern mengambil keputusan untuk membuka gerai burger dan di samping itu, anak muda dari Batu 5, Kuantan ini membaiki komputer-komputer sebagai menjana pendapatan tambahan.

Pada awal tahun 2000-an, Bern mula menunjukan minat kepada bidang skuter custom. Beliau melawat beberapa pameran custom dan sangat berminat dengan lukisan dan corak air-brush yang digunakan oleh kenderaan-kenderaan di pameran itu.

 

bern-kuantan-23  

 

Ramai yang tidak tahu sebenarnya Bern ini memang sudah pandai melukis sejak kecil lagi.

"Saya suka melukis potrait sebenarnya, dan selepas melihat pameran-pameran custom, terlintas di hati untuk belajar menggunakan air-brush," ujar Bern.

Dengan bantuan keluarga, Bern membeli set air-brush dan mula belajar skil serta teknik menggunakannya. Pada tahun 2003, Bern mengambil keputusan untuk membuka perniagaan khidmat air-brush.

 

bern-kuantan-28  

 

"Saya bermula dari stor di rumah ibubapa saya. Selama tiga tahun, stor itu menjadi studio saya, dan saya mula berkarya di situ," terang Bern. Helmet, skuter, motosikal dan pelbagai lagi komponen dan aksesori kenderaan dihiasi dengan kerja air-brush Bern.

Tahun 2004, beliau berkahwin dengan isterinya, Norazaliza Abdul Manaf dari Beserah, Kuantan. Dua tahun selepas itu, Bern membuka kedai pertamanya di Batu 5, berhampiran dengan rumah ibubapanya.

Dengan jumlah pelanggan yang semakin ramai, Bern beralih ke premis yang lebih selesa di Sungai Isap Jaya (di belakang Mc Donald's selepas Taman Sepakat, Jalan Kuantan-Gambang, sebelah kiri, menghala ke bandar).

 

Bern (kiri) dan pembantu beliau, Yen di hadapan premis mereka sekarang dan dua jentera hasil usaha modifikasi mereka sendiri.

Bern (kiri) dan pembantu beliau, Yen di hadapan premis mereka sekarang dan dua jentera hasil usaha modifikasi mereka sendiri.[/caption]  

 

"Kami sudah berada di kedai sekarang selama empat tahun dan alhamdulillah, pelanggan sentiasa ada yang berkunjung," sambung Bern yang kini mempunyai dua orang anak. Bern juga mampu menggunakan perisian Macromedia Fireworks untuk menghasilkan design dan kemudian menjadikan ia sticker.

"Kami mampu menghasilkan sticker untuk kenderaan, bangunan dan lain-lain lagi. Kami juga menerima tempahan sticker cukai jalan." Dalam tahun 2014, Bern memulakan pembinaan Street Cub pertama beliau dengan menggunakan motosikal Honda C70 GBO (lampu petak).

Selepas mahir membinanya, Bern kini mengambil upah untuk membina street cub.

 

bern-kuantan-1

 

"Kami sudah membuat lebih dari sepuluh street cub untuk pelanggan," kata Bern sewaktu menunjukan kepada kami sebuah Honda C70 yang sedang melakukan transformasi dari sebuah kapchai kepada sebuah jentera street cub Iron Man. "Pemilik street cub Iron Man ini datang dari Pekan."

Untuk yang mahu membuat modifikasi street cub oleh Bern sendiri, kos yang diperlukan bermula dari RM5,000 ke atas, tidak termasuk harga motosikal itu sendiri. "Jika modifikasi itu kompleks dan mempunyai banyak aksesori, harga akan meningkat," katanya lagi.

 Bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan Bern, prosesnya mudah. Untuk air-brush, deposit sebanyak RM100 dikenakan. Bern kemudian akan mula berbincang dengan pelanggan konsep dan lukisan yang akan digunakan.

Kemudiannya, Bern akan menggunakan perisian komputer untuk menghasilkan gambar kenderaan pelanggan dengan lukisan yang dicadangkan. Setelah persetujuan tercapai, baharulah kerja air-brush dimulakan. Sama juga dengan sticker, deposit tetap diperlukan, bergantung kepada jumlah sticker atau corak itu sendiri.

Rekabentuk atau design dibincangkan, lukisan dihasilkan dan setelah dipersetuji, baharulah sticker itu dibuat dan dipotong.

 Untuk menjaga lukisan air-brush, Bern berkata ia semudah menjaga cat kenderaan.

"Bagi sticker, jangan terlalu menjemurkan kenderaan kerana warna sticker boleh luntur. Ketika membasuh kenderaan, jangan ditenyeh bahagian sticker kerana ia menyebabkan bucu sticker itu terbuka," nasihat Bern. Satu lagi bidang baharu yang Bern telah ceburi ialah body-painting.

Body-painting atau melukis dan mewarna corak pada badan manusia ini digunakan di dalam filem.

"Contoh paling mudah ialah bila filem itu memerlukan watak yang penuh dengan tatoo," terang Bern. Bern akan menggunakan air-brush dan melukis tatoo pada badan pelakon. Dakwat yang digunakan pula boleh dibuang dengan cecair pencuci mekap. Khidmat Bern dalam air-brush badan manusia ini telah digunakan untuk filem-filem yang bakal muncul kelak seperti J-Revolusi, Jebat The Movie dan sebuah filem arahan warga Singapura, Stora the Weretiger.

Bern bercadang akan membesarkan kedai lamanya di Batu 5 untuk membolehkan beliau menerima lebih banyak pelanggan.

Sekarang ini, isterinya turut membantu mengusahakan kedai itu bersama seorang pembantu, Yen atau Mohd Azwan Mohd Rosli.

Bern membeli roda aloi selebar 8.7 JJ khas untuk projek Passola beliau.

 

 Antara projek yang sedang dilakukan oleh Bern ialah mengubah suai dua buah Yamaha Passola untuk dimasukkan dengan enjin Suzuki dan Piagio yang lebih besar.

"Dua Passola ini diharap akan dapat mempromosikan lagi perniagaan kami," ujar beliau. Jika anda ke Kuantan, lawati kedai Bern dan jamu mata dengan susunan sticker, helmet Shark (beliau menjual helmet jenama Shark dari Perancis) dan barisan skuter dan street cub yang ada di kedai beliau.

Ada juga hasil custom Bern dipamerkan di pameran custom terbesar Malaysia, Art of Speed dan banyak skuter Bern memenangi pelbagai anugerah di pameran-pameran custom yang lain. Bern buktikan bahawa minat melukis mampu membawanya jauh, dan hobi itu boleh dijadikan satu profesion yang menguntungkan. Syabas Bern. Careta bangga dengan anda!

Hubungi Bern di +60 13-908 8858.   

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, penganjur program tersebut turut diminta supaya menitikberatkan pematuhan jalan…
Berita Domestik
"Ahli-ahli politik perlu mempunyai iltizam dalam memastikan kejayaannya (dari segi penggubalan…
Berita Global
Selain daripada itu, Toyota turut mempamerkan konsep ubahsuai bagi dua model pentingnya, iaitu GR…