Bersauh tanpa kebenaran - Kapal dari Hong Kong dan Panama ditahan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan dua buah kapal asing kerana bersauh secara haram di perairan daerah ini pada Jumaat.


Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, bot ronda Maritim melakukan penahanan pertama terhadap kapal pengangkut dari Hong Kong sekitar jam 1 petang pada kedudukan 23.9 batu nautika timur laut Tanjung Siang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Setelah pemeriksaan dilakukan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

 

"Kapal pengangkut tanpa muatan itu dikendalikan 19 kru lelaki termasuk nakhoda warga Filipina dan China berusia 25 hingga 53 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

 

Beliau berkata, bot ronda Maritim melakukan penahanan kedua melibatkan kapal tangki dari Panama pada kedudukan 31 batu nautika timur laut Tanjung Gemoh pada jam 4.10 petang kerana melakukan kesalahan yang sama.

 

Menurutnya, kapal tangki itu dikendalikan 25 kru lelaki termasuk nakhoda warga Ukraine, Pakistan, Iran, Georgia, India, Filipina dan Rusia berumur lingkungan 27 hingga 53 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

 

Beliau memberitahu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran atau kelulusan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

"Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak," ujar beliau.

 

 

Berita Harian