Betamek dapat kontrak bekal alat ganti model baharu Perodua bernilai RM436.5juta

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari website Betamek
Pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), Betamek Bhd memperoleh kontrak bernilai RM436.5 juta untuk membekalkan pelbagai alat ganti elektronik untuk model kereta baharu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd (BESB) menerima Surat Arahan (LOI) daripada Perodua pada Isnin.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, berdasarkan LOI itu, pembekalan bahagian elektronik itu dijangka akan dimulakan pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 untuk tempoh enam tahun.

"Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan Betamek dalam tempoh enam tahun, bermula dari tahun kewangan 2025," katanya.

Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir, berkata permintaan untuk produk audio visual (AV) kenderaan dan aksesori kenderaan syarikat dijangka akan berkembang seiring dengan peningkatan permintaan untuk kenderaan pelanggan utamanya.

"Walaupun insentif pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang berakhir bulan lalu, kami yakin bahawa permintaan untuk produk kenderaan AV dan aksesori kenderaan kami akan terus berkembang seiring dengan permintaan yang kukuh untuk kenderaan pelanggan utama kami," katanya.

Perodua baru-baru ini mengumumkan bahawa ia berada di landasan untuk memenuhi 330,000 pengeluarannya dan sasaran pendaftaran 314,000 unit tahun ini, memandangkan syarikat kereta itu akan meneruskan penambahbaikan kecekapan operasinya.

Sehingga 30 Jun 2023, Perodua mengeluarkan 153,813 kenderaan, meningkat 17 peratus berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama 2022.

Pencapaian pengeluaran itu menyebabkan peningkatan pendaftaran sebanyak 13.6 peratus kepada 144,690 kenderaan bagi separuh pertama 2023 berbanding 127,343 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

 

 

Berita Harian