Itulah pendekatan yang cuba Toyota bawakan pada model GR Corolla, di mana untuk tahun pertama 8,600 unit model hot hatch tersebut akan dihasilkan di mana 2 ribu daripadanya dikhususkan untuk pasaran global, manakala selebihnya pasaran Amerika Syarikat.
GR Corolla mungkin antara kereta pantas yang baharu sahaja ditawarkan oleh Toyota, namun tahukah anda, pembangunan model tersebut sebenarnya bermula jauh lebih awal pada tahun 2018 jika dibandingkan dengan Toyota GR Yaris.
Menurut ketua jurutera Toyota Naoyuki Sakamoto memberitahu laman Car & Driver, boleh dikatakan pembangunan GR Corolla dan GR Yaris bergerak serentak, dan disebabkan itu kedua-dua berkongsi enjin G16E-GTS yang sama.
Cuma untuk pasaran Amerika yang gilakan kuasa kuda, enjin tersebut telah dimodifikasi supaya berupaya menghasilkan kuasa setinggi 300 kuasa kuda, berbanding 268 hp pada GR Yaris.
Menurut Naoyuki lagi, enjin G16 itu telah dipertingkatkan tahap boost serta penyaluran bahan api, sistem aci yang lebih seimbang serta twin-cam bagi membolehkan ia menghamburkan kuasa yang jauh lebih tinggi.
Selain daripada enjin, casis GR Corolla juga nyata berbeza jika dibandingkan dengan casis Corolla standard.
Menurut Naoyuki, casis GR Corolla mendapat tambahan 349 titik kimpalan, dan 2.7 meter lebih banyak bahan pengedap (sealant), binaan lantai yang berbeza bagi memuatkan komponen differential, serta bateri yang dialihkan ke belakang bagi mencapai pengagihan berat yang lebih baik.
Bumbung karbon juga khusus untuk model GR Corolla, diikuti dengan geometri suspensi yang telah disemak semula menjadi lebih tegar dan ringan dalam masa yang sama.
Jika anda perasan, bukaan grill juga jauh lebih besar berbanding model Corolla biasa, ini kerana ia bertujuan untuk membenarkan aliran udara yang lebih banyak untuk sistem penyejukan ruang enjin.
Hanya komponen pintu sahaja yang masih lagi menggunakan komponen asal daripada Corolla standard.
Naoyuki turut menambah, sistem pacuan semua roda GR-Four yang terdapat pada GR Corolla (dan GR Yaris) merupakan sistem unik yang dibangunkan daripada pengalaman perlumbaan (terutama penglibatan di dalam rali).
Ketika ditanya sama ada sistem ini bakal ditawarkan pada model-model Toyota yang lain, beliau dan pakar AWD Toyota sekadar menjawab dengan iringan gelak ketawa.
Baca: Toyota GR Corolla 2023 - hot hatch dengan enjin GR Yaris
Baca: Toyota GR Corolla - tidak terhad macam GR Yaris, tapi eksklusif
Baca: Toyota GR Corolla - hanya dua ribu unit untuk pasaran global
Sumber: Car & Driver