Operasi Khas hari ini memfokuskan aktiviti penangkapan sindiket yang membawa masuk kenderaan klon diseludup dari negara Singapura.
Hasil siasatan JPJ mendapati, sindiket penyeludupan kenderaan dari Singapura ini memiliki Certificate of Entitlement (COE) yang akan tamat dalam tempoh antara tiga (3) hingga tujuh (7) hari sebelum dilupuskan.

Dengan harga yang tidak munasabah, bermula dari serendah 3,000 sehingga 5,000 dolar Singapura bagi sebuah kereta mewah antaranya BMW, Mercedes, Honda, Toyota dan pelbagai lagi jenama lain antara yang ditawarkan kepada pembeli, golongan muda yang mahu nampak bergaya dan mewah kebiasaannya 'terpikat' dengan kenderaan klon ini.
Bahayanya membeli kenderaan klon adalah sekiranya tertangkap, selain dari tindakan undang-undang, pemilik kenderaan klon ini tiada perlindungan insurans, selain tiada jaminan keselamatan diri dan keluarga sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Tambahnya lagi, sindiket ini juga menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Wechat, dan Aplikasi jualan kenderaan secara dalam talian untuk memperdaya orang awam.

Untuk rekod, bermula tahun 2011 sehingga kini, jumlah tangkapan kes kenderaan klon di Negeri Selangor melalui Operasi Khas Kenderaan Klon adalah sebanyak 329 kes.
JPJ Negeri Selangor juga telah melaksanakan Pelupusan Kenderaan Klon ini melalui Lelongan Awam pada tahun 2019 dengan penjualan sebanyak 234 buah kenderaan manakala pada tahun 2022, sebanyak 46 buah kenderaan melibatkan pelbagai jenis dan model telah berjaya dijual sekaligus menyumbang kutipan hasil kerajaan sebanyak RM4,693,050.00.
