BikeExif papar motosikal enjin Subaru WRX!

oleh HEZERI SAMSURI|

Laman web motosikal popular BikeExif.com memaparkan sebuah motosikal yang membuatkan ramai tercengang.

Dibina oleh Marcel van Hooijdonk dari New Zealand, motosikal Madboxer ini mengambil masa selama lima tahun untuk dibina.

Marcel yang memang mahir dalam kerja pertukangan ini dilaporkan membina motosikal Madboxer selepas rakannya dari Australia yang menghantar email dengan sekeping gambar lukisan konsep sebuah motosikal dengan enjin Subaru.

Marcel menganggap ia satu cabaran dan terus mula membina Madboxer dengan sebuah enjin turbo Subaru EJ25 yang digunapakai oleh model WRX generasi kedua.

Beliau kemudian menghasilkan lukisan CAD dalam program AutoCAD dan kemudian mendapatkan kelulusan dari Low Volume Vehicle Technical Association di New Zealand agar motosikal ini boleh didaftarkan (di Malaysia, kita juga boleh melakukannya dengan mendapatkan kelulusan dari jurutera automotif bertauliah oleh pihak JPJ).

Madboxer menggunakan kerangka yang direka sendiri, lengkap dengan hab centre-steer di depan dan kerangka di sisi enjin untuk disambung kepada single swingarm di belakang. Semuanya direka dan dibina sendiri oleh Marcel.

Tangki dari sebuah motosikal Kawasaki diambil sementara roda dibeli dari laman web TradeMe. Unit pengecas turbo asal diganti dengan unit turbo berkembar dari Subaru Legacy.

madboxter

 

Transmisi 2-kelajuan automatik digunakan dengan hantaran rantai ke roda belakang.

Tukaran gear dilakukan melalui butang pada bar hendal dan brek dari motosikal Buell digunakan untuk tujuan berhenti.

Kerana rekabentuk motosikal ini diluluskan, Marcel dibenarkan untuk mendaftarkan Madboxer bagi kegunaan jalanraya biasa.

Dengan berat 313.5 kg, ia memang berat tetapi stabil kerana titik pusat berat lebih kepada bahagian bawah motosikal ini.

Artikel asal dan gambar dari BikeExif