Bila retro dan moden bersatu - Selamat datang, Nissan Proto Z!

oleh Mohamad Hanif|
Nissan 370Z yang merupakan generasi keenam bagi keluarga Fairlady Z sudah pun berada di pasaran semenjak tahun 2009 dan dalam satu acara yang diadakan semalam, Nissan akhirnya mendedahkan secara rasmi pengganti kereta sports pacuan roda belakang tersebut - dinamakan sebagai Nissan Proto Z.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti yang diumumkan oleh Nissan beberapa ketika dahulu, kereta sports generasi ketujuh itu membawakan rekaan retro moden yang diinspirasikan daripada kereta Z generasi terdahulu.

Menguasai jentera ini adalah enjin bentangan V6 turbo berkembar - nadi yang sama terdapat pada Infiniti Red Sport - yang mampu menjana sehingga 400 kuasa kuda dan daya kilas 474 Nm, peningkatan daripada angka output 370Z (332 hp/366 Nm).

 


Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan (Supra bila lagi?), namun opsyen transmisi automatik juga sedang dipertimbangkan oleh Nissan.

Dari segi dimensi, Nissan Proto Z sebenarnya memiliki ukuran yang lebih besar berbanding 370Z di mana panjang sebenar Proto Z adalah sekitar 4,382 mm, 1,849 mm lebar dan 1,311 mm tinggi.

Sebagai perbandingan, dimensi Nissan 370Z adalah 4,240 mm x 1,850 mm x 1,320 mm dengan jarak antara roda 2,550 mm.


Rekaan luaran Nissan Proto Z sememangnya memberikan penghormatan buat model-model Z yang terdahulu, di mana penggunaan cat warna kuning pearlescent itu merupakan rujukan kepada generasi pertama 240Z, diikuti dengan struktur hud enjin yang panjang, lampu LED berbentuk bulat dan gril empat segi.

Di bahagian belakang pula, Nissan Proto Z memiliki rekaan lampu LED yang melintang yang diinspirasikan daripada model 300ZX Z32 namun diberikan dengan sentuhan moden, sebelum bahagian tersebut dihiasi dengan pemasangan emblem Fairlady Z.

 


Tidak ketinggalan, elemen gentian karbon yang wajib menjadi sebahagian daripada imej kereta sports, di mana Nissan Proto Z didatangkan dengan lower lip, skirt sisi, dan diffuser yang diperbuat daripada bahan tersebut.

Set rim pula adalah jenis aloi ringan bersaiz 19 inci, manakala di bahagian belakang terdapat sistem ekzos tip berkembar pula yang menyalurkan segala sisa pembakaran ke atmosfera.

 


Perubahan besar turut didatangkan pada susunan ruang kabin, dimulakan dengan rekaan papan pemuka yang serba ringkas, namun hadir dengan elemen teknologi moden.

Seperti contoh, di belakang stereng 'deep dish' itu terdapat skrin kluster digital bersaiz 12.3 inci bagi menggantikan meter analog pada 370Z, skrin infotainmen bersaiz 9.0 inci dan gugusan meter tambahan di bahagian tengah.

Tempat duduk pula dibaluti dengan gandingan bahan kulit dan Alcantara, diikuti dengan kemasan dan jahitan berwarna kuning.

 


Konsol tengah pula menempatkan tombol gear manual dan brek tangan fizikal memberikan satu perasaan kegembiraan yang tidak ada pada para pemilik Toyota GR Supra masa kini.

Seperti nama yang tertera, Nissan Proto Z merupakan sekadar konsep sahaja, namun versi produksi penuh berkemungkinan besar akan diperlihatkan menjelang tahun hadapan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
VF Wild merupakan sebuah trak pikap saiz pertengahan dengan ukuran panjang 5,324 mm dan lebar 1,997…
Berita Global
Menurut laporan Autocar, pengarah program reka bentuk Nissan, Giovanny Arroba berkata sebahagian…
Model Terbaharu
Namun Honda dilihat kekal teguh sebagai sebuah syarikat yang mementingkan kepuasan petrolhead…