SUV itu muncul di booth Honda bersempena dengan acara Bangkok International Motor Show 2023 dengan membawakan sehingga lima varian utama.
Dari segi rekaan, Honda CR-V kini membawakan rupa paras yang lebih ringkas, di mana lampu LED depan lebih nipis sementara lampu belakang pula menampakkan grafik yang lebih mewah.
Bergantung kepada varian, Honda CR-V 2023 boleh didapati dalam versi dua baris tempat duduk (lima penumpang) atau tiga baris tempat duduk (tujuh penumpang), diikuti dengan pilihan rim 18 atau 19 inci, serta varian RS lebih sporti yang muncul buat pertama kali pada model tersebut.
Honda CR-V memiliki dimensi sepanjang 4,649 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,691 mm sementara jarak antara roda pula sepanjang 2,700 mm, sedikit besar berbanding model terdahulu.
Seperti model pasaran global, Honda CR-V 2023 boleh didapati dengan pilihan enjin 1.5 liter turbo DOHC (190 hp @ 6,000 rpm, 242 Nm @ 1,700-5,000 rpm) dipadankan dengan transmisi CVT, pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (AWD) serta boleh menerima suapan bahan api E85.
Versi hibrid pula didatangkan dengan nadi 2.0 liter e:HEV yang terdiri daripada enjin 1,993 cc kitaran Atkinson dengan 2 motor elektrik, hamburan kuasa sekitar 204 hp dan daya kilas 335 Nm @ 0-2,000 rpm serta sistem pacuan empat roda (AWD)
Ruang kabin Honda CR-V banyak diinspirasikan daripada susun atur papan pemuka Honda Civic FE yang telah pun banyak menjalar di atas jalan raya.
Terdapat skrin paparan infohibur bersaiz sembilan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, skrin paparan kluster digital 10.2 inci, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta sokongan paparan head-up sistem audio BOSE dengan 12 pembesar suara untuk varian RS.
Ciri keselamatan Honda SENSING adalah standard untuk semua varian.
Di Thailand, Honda CR-V 2023 dijual pada harga bermula dari 1,419,000 baht (RM183,928) sementara varian tertinggi RS e:HEV lima tempat duduk berharga 1,729,000 baht (RM224,110).
Honda CR-V 2023 generasi keenam ini dijangka akan muncul di pasaran Malaysia pada tahun ini.