BMW 3 Series 330Li M Sport 2021 - versi LWB, bermula dari RM300,800

oleh Mohamad Hanif|
Buat pertama kalinya, BMW Malaysia telah membawakan penawaran baharu buat para peminat sedan 3 Series dengan pengenalan varian jarak antara roda yang lebih panjang (long wheelbase), iaitu BMW 330Li M Sport.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia juga merupakan model 3 Series varian LWB yang pertama dipasang di Malaysia (CKD) yang menawarkan pakej ruang dalaman yang lebih luas, selain mengekalkan ciri sporti sedan kompak eksekutif BMW.

Dari segi dimensi, secara keseluruhannya panjang 330Li ini bertambah sebanyak 110 mm kepada 4,819 mm, serta penambahan 110 mm kepada jarak antara roda kepada hampir 3 meter (2,961 mm).

 


Untuk menyeimbangkan penambahan dimensi itu, ketinggian telah bertambah sebanyak 6 mm kepada 1,441 mm, dengan garis bumbung yang direka semula supaya tampak seperti seakan sebuah coupe.

Penampilan sedan 330Li M Sport ini diserikan dengan pakej M Aerodynamics dan M Sport Packages, set rim aloi M bersaiz 18 inci jenis Double-Spoke style 848 M bicolour yang dibaluti tayar run flat, tip ekzos trapezoid, bumbung kaca panorama dan lampu selamat datang pada kedua-dua sisi.

 


BMW 330Li M Sport masih lagi mengekalkan penggunaan nadi 2.0 liter TwinPower Turbo yang mampu menjana 258 hp dan 400 Nm (1,550 - 4,400 rpm), sistem transmisi Steptronic Sport serta memecut sepantas 6.2 saat dari 0-100 km/j.

Kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 250 km/j sementara bacaan penggunaan bahan api pula adalah serendah 6.4 liter untuk setiap 100 km.

 


Kelengkapan di dalam ruang kabin pula merangkumi trim Aluminium Tetragon, kemasan Pearl Chrome, roda stereng kulit M, pedal M, sistem pencahayaan ambien 11 warna, sistem pendingin hawa automatik tiga zon, serta sistem audio HiFi.

Tidak dilupakan, sistem infotainmen yang terdiri daripada BMW Live Cockpit Professional 12.3 inci, diikuti oleh skrin sentuh BMW Navigation System Professional bersaiz 10.25 inci.

Aspek keselamatan sedan panjang ini disumbangkan oleh ciri seperti kawalan jelajah dengan fungsi brek, Parking Assistant, BMW Active Pedestrian Safety, serta Driving Assistant yang merangkumi ciri seperti:

  • amaran keluar laluan
  • amaran penukaran laluan
  • amaran pelanggaran hadapan
  • amaran lintasan trafik belakang
  • amaran pelanggaran belakang

 


Harga jualan anggaran BMW 330Li M Sport bermula dari RM300,800 atau bulanan serendah RM3,338 menerusi pelan pembiayaan BMW Balloon Financing Plan (anggaran pinjaman 80 peratus untuk tempoh lima tahun).

Para pemilik BMW 330Li M Sport bakal menikmati jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma, bantuan tepi jalan dan talian kemalangan, BMW Group Loyalty+ Mobile App, BMW Privileges Card dan BMW Service Online.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dengan Vision Neue Klasse sebagai kelahiran semula BMW untuk era baharu, ia akan menumpukan pada…
Pelancaran
Tiga varian utama yang dimaksudkan itu ialah BMW 320i M Sport, BMW 330i M Sport serta sebuah model…
Berita Domestik
Untuk varian 320i M Sport Edisi Terhad, ia hadir dengan pakej penggayaan M Sport termasuklah rim…