BMW 3 Series G20 dilancarkan - generasi ketujuh dengan dimensi yang lebih besar

oleh Mohamad Hanif|
Setelah hampir 43 tahun mendominasi jalanan, BMW 3 Series akhirnya memasuki generasi ketujuh dan telah pun selesai dilancarkan bersempena Paris Motor Show.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dengan dimensi yang kini lebih panjang 76 mm dan lebih lebar 16 mm berbanding generasi terdahulu F30, G20 ini mempunyai jarak antara roda sepanjang 2,851 mm (tambahan 41 mm), terbesar di dalam kelasnya. 

BMW juga telah menambah jarak lebar antara roda sebanyak 43 mm di bahagian roda hadapan dan 21 mm di bahagian roda belakang bertujuan untuk meningkatkan tahap pengendalian 3 Series yang sudah terbukti cemerlang itu. 

Pada bahagian luaran, gril hadapan berbentuk ginjal berkembar ternyata menaikkan seri rupa BMW 3 Series serba baharu ini sebelum diakhiri dengan lampu utama dengan rekaan yang berlekuk, dilengkapi dengan teknologi Laserlight serta lampu nyalaan siang tiga dimensi. 
 


Beralih kepada bahagian belakang, lampu utama juga telah diberikan nafas baharu dengan reka bentuk tiga dimensi L seakan-akan rekaan lampu dari Lexus menjadikan BMW 3 Series ini lebih menarik.
 


Memasuki ruang kabin, rekaan dalaman juga dikatakan banyak mengambil inspirasi daripada model-model BMW yang baharu seperti 8 Series, SUV X5 dan BMW Z4. 

Pada konsol tengah, terdapat sistem infotainmen dengan skrin bersaiz 8.8 inci manakala untuk kegunaan pemandu terdapat skrin berwarna bersaiz 5.7 inci yang memaparkan data-data pemanduan. 

Tempat duduk juga telah direka semula dan dilengkapkan dengan ciri seperti balutan kulit Vernasca dan pemanas terbina dalam bagi memastikan keselesaan para penumpang lebih terjamin terutama ketika perjalanan jauh. 

Memandangkan jarak di antara roda yang sudah ditambah, secara langsung ia menyumbang kepada penambahan ruang kaki bagi penumpang belakang, ruang bahu dan juga ruang kepala, manakala ruang kargo pula masih mengekalkan saiz 480 liter seperti model terdahulu. 
 


BMW 3 Series didatangkan dengan penawaran enjin empat silinder petrol dan diesel serta enjin enam silinder diesel untuk varian yang berbeza. 

Berikut merupakan varian untuk 3 Series serta enjin yang digunakan untuk setiap varian

320i - 2.0 liter turbo inline 4, 184 hp/300 Nm
330i - 2.0 liter turbo inline 4, 258 hp/400 Nm
318d - 2.0 liter diesel, 150hp/320 Nm
320d - 2.0 liter diesel twin turbo, 190 hp/400 Nm
330d - 3.0 liter diesel turbo inline 6, 265 hp/580 Nm
330e PHEV - 252 hp
M340i xDrive - 3.0 liter turbo inline 6, 374 hp/500 Nm
 


Dari segi keselamatan, BMW 3 Series hadir dengan ciri-ciri seperti amaran pelanggaran dan pejalan kaki, brek kecemasan automatik, dan amaran keluar laluan manakala ciri pilihan Driving Assistant diberikan ciri amaran penukaran laluan dengan bantuan stereng, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang dan kawalan pemanduan adaptif aktif. 

BMW juga turut mendatangkan ciri Parking Assistant yang membolehkan sistem kawalan seperti stereng, pecutan, brek dan penukaran gear dikawal secara automatik ketika hendak memarkir kenderaan dan dibantu dengan ciri pandangan sekeliling 360 darjah dan ciri Reversing Assistant. 

Ciri kunci digital BMW kini mengaplikasikan fungsi berhubung Near Field Communication membolehkan peranti pintar Samsung digunakan sebagai kunci kepada kereta BMW 3 Series dan juga fungsi-fungsi lain seperti NFC BMW Key Card, Connected Navigation, On-Street Parking Information, servis ParkNow. 

Para pemilik BMW 3 Series juga boleh mengemaskini perisian menggunakan ciri Remote Software Update. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dengan Vision Neue Klasse sebagai kelahiran semula BMW untuk era baharu, ia akan menumpukan pada…
Pelancaran
Tiga varian utama yang dimaksudkan itu ialah BMW 320i M Sport, BMW 330i M Sport serta sebuah model…
Berita Domestik
Untuk varian 320i M Sport Edisi Terhad, ia hadir dengan pakej penggayaan M Sport termasuklah rim…