BMW 3 Series rasmi dilancarkan - varian tunggal 330i M Sport, harga dari RM328,800

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sedar ataupun tidak, dengan penjualan kira-kira 15 juta unit seluruh dunia, BMW 3 Series sudah pun memasuki generasi ketujuh menerusi pelancaran model sedan baharu G20 sempena acara Paris Motor Show tahun lalu. 

Kini, BMW Malaysia dengan bangganya memperkenalkan sedan 3 Series tersebut untuk pasaran Malaysia sebagai usaha berterusan mereka membawakan Sheer Driving Pleasure dalam segmen premium. 

Didatangkan dalam penawaran varian tunggal, BMW 3 Series diperkenalkan dalam pakej M Sport khas buat rakyat Malaysia menampilkan reka bentuk sport yang dinamik. 
 


Dengan dimensi yang kini lebih panjang 76 mm dan lebih lebar 16 mm berbanding generasi terdahulu F30, G20 ini mempunyai jarak antara roda sepanjang 2,851 mm (tambahan 41 mm), terbesar di dalam kelasnya. 

BMW juga telah menambah jarak lebar antara roda sebanyak 43 mm di bahagian roda hadapan dan 21 mm di bahagian roda belakang bertujuan untuk meningkatkan tahap pengendalian 3 Series yang sudah terbukti cemerlang itu. 

Pada bahagian luaran, gril hadapan berbentuk ginjal berkembar ternyata menaikkan seri rupa BMW 3 Series serba baharu ini sebelum diakhiri dengan lampu utama dengan rekaan yang berlekuk, dilengkapi dengan teknologi Laserlight serta lampu nyalaan siang tiga dimensi. 

Beralih kepada bahagian belakang, lampu utama juga telah diberikan nafas baharu dengan reka bentuk tiga dimensi L seakan-akan rekaan lampu dari Lexus menjadikan BMW 3 Series ini lebih menarik.
 


Memasuki ruang kabin, rekaan dalaman juga dikatakan banyak mengambil inspirasi daripada model-model BMW yang baharu seperti 8 Series, SUV X5 dan BMW Z4. 

Pada konsol tengah, terdapat sistem infotainmen dengan skrin bersaiz 8.8 inci manakala untuk kegunaan pemandu terdapat skrin berwarna bersaiz 5.7 inci yang memaparkan data-data pemanduan. 

Tempat duduk juga telah direka semula dan dilengkapkan dengan ciri seperti balutan kulit Vernasca dan pemanas terbina dalam bagi memastikan keselesaan para penumpang lebih terjamin terutama ketika perjalanan jauh. 
 


Memandangkan jarak di antara roda yang sudah ditambah, secara langsung ia menyumbang kepada penambahan ruang kaki bagi penumpang belakang, ruang bahu dan juga ruang kepala, manakala ruang kargo pula masih mengekalkan saiz 480 liter seperti model terdahulu. 

Dari segi keselamatan, BMW 3 Series hadir dengan ciri-ciri seperti amaran pelanggaran dan pejalan kaki, brek kecemasan automatik, dan amaran keluar laluan manakala ciri pilihan Driving Assistant diberikan ciri amaran penukaran laluan dengan bantuan stereng, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang dan kawalan pemanduan adaptif aktif. 

BMW juga turut mendatangkan ciri Parking Assistant yang membolehkan sistem kawalan seperti stereng, pecutan, brek dan penukaran gear dikawal secara automatik ketika hendak memarkir kenderaan dan dibantu dengan ciri pandangan sekeliling 360 darjah dan ciri Reversing Assistant. 
 


Ciri kunci digital BMW kini mengaplikasikan fungsi berhubung Near Field Communication membolehkan peranti pintar Samsung digunakan sebagai kunci kepada kereta BMW 3 Series dan juga fungsi-fungsi lain seperti NFC BMW Key Card, Connected Navigation, On-Street Parking Information, servis ParkNow. 

Para pemilik BMW 3 Series juga boleh mengemaskini perisian menggunakan ciri Remote Software Update. 

 


BMW 3 Series 330i M Sport ini dilengkapkan dengan enjin petrol TwinPower 2.0 liter yang mampu mengekstrak kuasa setinggi 258 kuasa kuda dan daya kilas maksimum 400 Nm yang masuk antara julat putaran enjin 1,550 hinga 4,400 rpm. 

Pecutan dari pegun ke 100 km/j mampu dicapai sepantas 5.8 saat, terima kasih kepada penggunaan transmisi Steptronic Sport lapan nisbah kelajuan selain mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 6.4 liter untuk setiap 100 km. 

BMW 3 Series ditawarkan dengan lima warna menarik iaitu Portimao Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey, serta Sunset Orang yang dipadankan dengan warna dalaman upholsteri hitam premium atau Cognac Leather Vernasca atau Aluminium Tetragon. 

Harga jualan pula bermula dari RM328,800 atas jalan tanpa insurans.

BMW 3 Series yang baharu boleh didapati daripada pengedar BMW bertauliah di seluruh negara, bermula dari 28 Mac 2019.
 


Tidak dilupakan, pemilik BMW 3 Series yang baharu ini juga boleh menikmati pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia merangkumi:

  • Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis ‘Run Flat Tyre’
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ - BMW White Card
  • Servis Dalam Talian oleh BMW

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pada acara itu, pelbagai pilihan hingga 500 kenderaan premium pra-milik serta kenderaan baharu…
Berita Domestik
Tidak seperti model terdahulu yang boleh didapati dalam varian xDrive40, BMW iX 2024 kini tersedia…
Berita Domestik
BMW Group Malaysia berjaya menyerahkan lebih daripada 15,000 unit kenderaan daripada BMW, MINI dan…