BMW 4 Series 2021 pinjam gril besar dari model Concept 4

oleh Mohamad Hanif|
BMW akhirnya secara rasmi melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu BMW 4 Series yang membawakan banyak persamaan dengan model Concept 4 yang diperlihatkan pada tahun lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Apa yang lebih menonjol pada model baharu ini adalah penampilan gril buah pinggang menegak yang kini lebih besar dan direka bagi menyalurkan udara dengan lebih berkesan kepada unit penyejukan enjin.

Namun, usah risau kerana buat masa ini, rekaan gril ini tidak akan diperluaskan kepada model-model BMW yang lain, menurut kata ketua unit rekaan BMW, Domagoj Dukec.

 


Dari segi kuasa, BMW 4 Series ditawarkan dalam beberapa varian, di mana BMW 430i dan 430i xDrive mendapat enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 255 hp dan 399 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 5.3 saat (model xDrive) dan halaju maksimum 250 km/j.

Varian M440i xDrive yang serba baharu didatangkan dengan nadi 3.0 liter enam silinder sebaris yang digandingkan dengan sistem mild-hybrid (382 hp/500 Nm) yang membolehkan pecutan lebih pantas dicapai - 4.3 saat.

Kesemua varian dilengkapkan dengan sistem transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

 


Walaupun BMW 4 Series berkongsi platform dengan 3 Series, model coupe ini mendapat pakej suspensi spesifik yang meningkatkan kadar ketegaran, serta mampu menawarkan kadar pengagihan berat 50:50 sama seperti 3 Series!

Sementara itu, ruang dalaman BMW 4 Series ini juga banyak membawakan elemen yang terdapat pada sedan 3 Series dengan kemasan kulit palsu SensaTec berwarna Canberra Beige atau hitam.

Namun, penawaran kulit Vernasca pula diberikan opsyen tujuh warna iaitu Canberra Beige/Black, Tacora Red, Mocha, Cognac, Oyster, Black dan Black/jahitan kontrast Blue.

 


Tidak ketinggalan, sistem infotainmen iDrive 7.0 BMW turut dibawakan daripada model 3 Series yang merangkumi skrin sentuh bersaiz 8.8 inci di bahagian tengah, serta paparan digital 5.1 inci, dan pembeli boleh mendapatkan opsyen paparan skrin tengah bersaiz 10.3 inci dan paparan kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci.

Antara ciri keselamatan yang dibawakan termasuklah ciri brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar laluan dengan bantuan stereng, informasi had laju, serta pakej opsyen Driving Assitance Professional yang merangkumi kawalan pelayaran adaptif dengan fungsi berhenti/mula, bantuan kekal laluan, serta ciri pengelakan pelanggaran sisi.

 


Harga jualan BMW 4 Series bermula dari $45,600 untuk varian 430i Coupe pacuan roda belakang, $47,600 (430i xDrive) dan $58,500 untuk varian M440i xDrive di Amerika Syarikat.

Pelancaran di peringkat global pula akan dibuat pada bulan Oktober nanti.

Berita Berkenaan

Berita Global
Daripada nombor satu sampailah nombor lapan. Senang cerita: 1 Series - hatchback segmen C 2…