BMW 7-Series 2023 - generasi baharu, rekaan lampu depan dwi-lapis, varian EV i7 turut ditampilkan

oleh Mohamad Hanif|
Sedan paling besar dalam keluarga BMW, 7-Series kini ditampilkan dalam bentuk generasi baharu yang merupakan generasi ketujuh selepas generasi terdahulu berada di pasaran sejak tahun 2008 lagi.

Menariknya, sedan 7-Series ini mendapat perubahan besar dari segi rupa paras, di mana ia mewarisi rekaan lampu depan dwi-lapis yang sebelum ini didedahkan pada model SUV X7, diikuti dengan lampu belakang yang agak nipis.

Dimensi juga turut bertambah besar, di mana sedan ini memiliki ukuran sepanjang 5.4 meter, 126 mm lebih panjang berbanding generasi terdahulu, dengan jarak antara gandar kini sepanjang 3.2 meter.

Ruang kargo juga turut bertambah besar, dari 515 liter kepada 540 liter.
 

BMW i7


BMW 7 Series masih lagi ditawarkan dalam varian enjin pembakaran dalaman, di mana versi asas 740i didatangkan dengan nadi enam silinder sebaris 3.0 liter dengan bantuan hibrid ringan 48V, menghasilkan kuasa keseluruhan 375 hp dan 540 Nm.

Varian 760i xDrive pula menggantikan enjin inline-6 kepada nadi bentangan V8 - juga dengan teknologi hibrid ringan 48V - di mana ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 536 hp dan 750 Nm, dan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.2 saat (berbanding 5.0 saat yang dilakukan oleh 740i).

Untuk mereka yang mahukan pecutan elektrik penuh, terdapat varian i7 dimana BMW masih lagi mengekalkan rupa paras i7 yang sama seperti model 7 Series standard, tidak sama seperti pendekatan yang digunakan oleh Mercedes.
 

i7


Versi paling premium (dan paling mahal) i7 xDrive60 menampilkan dua motor elektrik, di mana motor elektrik depan berkuasa 255 hp sementara motor elektrik belakang pula lebih berkuasa, 308 hp.

Kuasa gandingan yang ditawarkan oleh i7 ini adalah sekitar 536 hp dan 744 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.5 saat.

Pek bateri berkapasiti 101.7 kWh pula membolehkan sedan elektrik ini mencapai jarak operasi sejauh 483 km, menjadikannya agak ketinggalan berbanding pesaing rapat seperti Mercedes EQS (547 km) dan Tesla Model S Plaid (557 km).

Namun, ia disokong dengan pengecasan pantas 195 kW yang membolehkan BMW i7 menambah jarak 128 km dalam masa 10 minit.
 

BMW


Ruang kabin BMW 7 Series dan BMW i7 membawakan panel paparan melengkung yang terdiri daripada skrin kluster instrumen digital dan skrin infotainmen dengan perisian iDrive8 yang terkini, serta sokongan selular 5G.

Papan pemuka itu juga turut menempatkan Interaction Bar - jalur sensitif sentuhan bercahaya yang melintangi bahagian tersebut di mana ia bukan sahaja menempatkan sistem pencahayaan ambien, akan tetapi butang maya untuk beberapa fungsi kereta yang ditawarkan.

Konsol tengah pula menempatkan tuil penukaran gear yang sama seperti yang ditunjukkan pada model X7 sebelum ini. Kecil dan ringkas.
 

BMW


Apa yang membuatkan 7 Series lebih sesuai dijadikan sebagai kereta untuk penumpang adalah kehadiran Theater Screen bersaiz 31 inci paparan 4K yang dipasang pada bahagian siling, membolehkan ruang belakang berubah menjadi sinema peribadi.

Untuk keselesaan penumpang belakang, tempat duduk baris kedua boleh dibaringkan dengan sudut sehingga 42.5 darjah.
 

i7


Selain itu, BMW turut melengkapkan skrin tambahan Touch Command bersaiz 5.5 inci pada panel pintu belakang (seakan peranti pintar) yang membolehkan kawalan kepada pelbagai jenis fungsi seperti panggilan suara, kandungan multimedia, tetapan tempat duduk, pencahayaan serta menetapkan suhu di bahagian tersebut.

Secara standard, BMW 7 Series dilengkapi dengan sistem suspensi udara dengan peredam adaptif, serta sistem stereng gandar belakang yang mampu mengurangkan radius putaran sebanyak 0.8 meter, serta pakej opsyen anti-oleng aktif yang menjanjikan pemanduan yang lebih selesa.

Malah, BMW turut menawarkan opsyen Driving Assistance Professional Package yang membolehkan pemanduan bebas tangan dibuat pada kelajuan sehingga 130 km/j.

Sebagai info, harga jualan BMW 7-Series generasi baharu bermula dari $93,300 (RM396,945) untuk varian 740i, $113,600 (RM483,311) untuk varian 760i xDrive dan $119,300 (RM507,562) untuk varian i7 xDrive60.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tidak kurang juga yang sudah pun mula menjalankan kajian untuk mendapatkan kereta baharu. Usah…
Berita Global
Menurut kenyataan daripada BMW, jenama mewah tersebut telah mengesahkan bahawa sedan bersaiz penuh…
Berita Global
Cadillac CTS-V Jaguar XE SV Bentley Continental Flying Spur Aston Martin Rapide S Dodge Charger SRT…