BMW dedah teaser 5 Series Touring 2024 - untuk pasaran Eropah, Jepun, Taiwan

oleh Mohamad Hanif|
BMW telah berkongsi gambar acah pertama model station wagon 5 Series yang bakal dilancarkan secara rasmi pada tahun hadapan.

Difahamkan, 5 Series Touring boleh didapati secara eksklusif di pasaran Eropah, Jepun dan Taiwan sahaja.

Gambar tunggal 5 Series Touring itu menampakkan profil sisi wagon yang lebih praktikal berbanding sedan 5 Series, lengkap dengan unit pencahayaan LED, dan bertepatan dengan imej paten yang pernah kami siarkan sebelum ini.

Dari segi kuasa, BMW 5 Series Touring bakal ditawarkan dengan pilihan enjin petrol, hibrid, plug-in hybrid dan versi elektrik i5 Touring.

Model yang dibangun berdasarkan platform CLAR itu juga bakal lahir dalam bentuk wagon pantas M5 Touring, dengan dimensi badan yang lebih lebar dan menampilkan enjin V8 hibrid berkuasa 790 hp yang diambil daripada BMW XM.

Terdapat juga versi wagon elektrik i5 M60 xDrive, dengan hamburan kuasa setinggi 593 hp.