BMW F 850 GS '40 Years GS Edition' kini di Malaysia - RM85,500

oleh Mohamad Hanif|
BMW Motorrad Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan BMW F 850 GS '40 Years GS Edition' yang menggandingkan elemen klasik yang terdapat pada R 100 GS dalam sebuah pakej GS yang serba moden.

Dari segi penampilan, BMW F 850 GS '40 Years GS Edition' ini membawakan gandingan warna hitam dan kuning, rim berwarna emas anodiza, pelindung bar hendal kuning, serta emblem 40 Years GS yang boleh dilihat pada sisi tangki bahan api.

Sementara tiub fork hitam dan pelindung radiator bergalvani menyerikan lagi penampilan F 850 GS '40 Years GS Edition' ini.

 


Bahagian belakang pula kini dipasang dengan rak barangan dan pelana dengan jahitan logo GS.

Dari segi kuasa, BMW F 850 GS '40 Years GS Edition' ini mengekalkan nadi dua silinder sejukan cecair bersesaran 853 cc yang menghasilkan 95 hp dan 92 Nm, serta dibantu dengan peralatan elektronik seperti ABS Pro, Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (ESA), serta empat mod tunggangan.

Sementara Riding Modes Pro pula menambah varian baharu ini dengan ciri seperti Dynamic Engine Brake Control dan Shift Assistant Pro.

 


Segala informasi penting dipaparkan menerusi panel TFT bersaiz 6.5 inci yang menawarkan bacaan yang optimum walaupun di bawah kondisi pencahayaan yang sukar, manakala fungsi Connectivity pula kini ditawarkan sebagai ciri standard untuk model ini.

Tidak cukup dengan itu, BMW Motorrad juga mendatangkan tambahan ciri seperti kawalan jelajah, navigasi GPS, Keyless Ride, serta sistem pemantauan tekanan tayar (RDC) sebagai kelengkapan standard.

 


Dibawa masuk dalam unit yang agak terhad, BMW F 850 GS '40 Years GS Edition' ini boleh didapati di kesemua pusat pengedar BMW Motorrad yang sah bermula 10 Februari ini, dengan harga RM85,500.00 (tidak termasuk insurans).

Setiap pembelian BMW F 850 GS ini didatangkan dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun, serta program bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Model-model yang dimaksudkan adalah BMW F 750 GS, F 850 GS dan F 850 GS Adventure di mana ketiga-…
Berita Global
BMW pula pada pertengahan tahun lalu turut hadir dengan sebuah model konsep trak pikap yang…
Gaya Hidup
Anda tidak perlu untuk menggosok mata anda beberapa kali saat melihat gambar ini, kerana ia…