BMW G 310 RR 2022 - sportbike 313 cc, 33.5 hp, 27.3 Nm, dari RM16k di India

oleh Mohamad Hanif|
BMW Motorrad baru-baru ini melancarkan sebuah sportbike berkapasiti kecil 313 cc untuk pasaran India.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ia sebenarnya menggunakan asas daripada model TVS Apache RR 310, menampilkan sistem lampu LED berkembar serta tempat duduk terpisah sebelum diberikan dengan elemen-elemen yang sinonim dengan jenama BMW, seperti pilihan warna dan liveri M-Performance.
 

G 310 RR


Dari segi kuasa, BMW G 310 RR menampilkan nadi silinder tunggal 313 cc sejukan cecair TVS yang mampu menjana kuasa setinggi 33.5 hp @ 9,700 rpm, dan daya kilas 27.3 Nm @ 7,700 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik 41 mm, lengan ayun berkembar aluminium di bahagian belakang, sementara sistem brek pula terdiri daripada rotor 300 mm dan angkup empat omboh di hadapan, diikuti dengan rotor 240 mm dan angkup omboh tunggal di bahagian belakang, dibantu dengan sistem brek ABS.

 

G 310 RR


Antara kelengkapan lain yang dimuatkan termasuklah rim lima jejari bersaiz 17 inci, balutan tayar Michelin Pilot Street, serta skrin TFT bersaiz lima inci menegak yang turut menawarkan sambungan Bluetooth, serta kehadiran mod tunggangan (track, urban, rain, sport).

Sebagai sebuah jentera sportbike aras mula, BMW India menjual BMW G 310 RR dengan harga jualan dari ₹285,000 (RM15,886) untuk versi standard, hingga ₹299,000 (RM16,668) untuk versi Style Sport.