EV kompak yang mampu memuatkan empat orang pada satu-satu masa ini dibina berdasarkan empat falsafah mesra ekosistem BMW, iaitu RE:THINK, RE:DUCE, RE:USE, dan RE:CYCLE.
Menurut BMW, keseluruhan binaan i Vision Circular ini diperbuat daripada bahan kitar semula, dan pada akhir hayatnya keseluruhan komponen (termasuk bateri) boleh dikitar semula.
Dari segi luaran, ia membawakan rekaan gril buah pinggang yang klasik, serta menempatkan unit lampu utama, di mana permukaan gril itu dilihat boleh digunakan sebagai paparan grafik.
Binaan panel badan diperbuat daripada aluminium dan keluli yang dikitar semula, sementara bateri jenis solid state itu juga turut dibina daripada bahan-bahan yang dikitar semula.
Sementara tayar pula diperbuat daripada bahan getah asli yang diperakui, diperkuatkan dengan penggunaan zarah getah berwarna yang dikitar semula untuk penambahan kekuatan struktur, serta mencipta penampilan yang tersendiri.
BMW i Vision Circular turut menampilkan keupayaan car-to-grid, di mana pemandu boleh 'menghantar' kembali kuasa yang tidak diperlukan kepada sistem grid nasional.
Ruang kabin pula dilihat seakan sebuah pusat kawalan kapal angkasa tanpa kehadiran skrin paparan seperti tipikal kenderaan masa kini.
Sebaliknya, ia menggunakan paparan head-up untuk memaparkan segala informasi penting kenderaan pada bahagian bawah cermin hadapan.
Rekaan roda stereng berbentuk segi empat itu dibina menggunakan teknik percetakan tiga dimensi dengan menggunakan bahan serbuk kayu.