BMW M3 CS 2024 - diet berat badan, 543 hp, 650 Nm, sistem xDrive, transmisi automatik sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Lebih berkuasa dan lebih ringan, itu merupakan resepi utama yang digunakan oleh BMW untuk model-model Clubsport yang pernah ditawarkan sebelum ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ucapkan selamat datang kepada BMW M3 CS 2024 yang baharu sahaja dilancarkan di peringkat global, di mana ia kini membawakan penawaran yang sama seperti model terdahulu.
 

m3 cs


Enjin enam silinder sebaris S58 3.0 liter turbo berkembar yang telah ditala semula itu kini berupaya menjana kuasa setinggi 543 hp dan daya kilas 650 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda xDrive (ada mod RWD!) dan transmisi automatik sahaja.

Pecutan 0-96 km/j kini mampu diselesaikan dalam tempoh 3.2 saat, sementara M Driver's Package membolehkan sedan ini mencapai kelajuan tertinggi 303 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Selain peningkatan kuasa, para jurutera telah berjaya membuang berat sebanyak 34 kg hasil penggunaan bahan plastik bertetulang gentian karbon (CFRP) pada hud, splitter depan, liang kemasukan udara, perumah cermin sisi, bumbung, diffuser belakang dan spoiler belakang.
 

m3 cs


Sistem ekzos turut menjalani program diet dengan penggunaan peredam titanium.

Sementara ruang kabin pula didatangkan dengan roda stereng balutan Alcantara, tali pinggang dengan tema warna M, tempat duduk bucket berkerangka karbon, diikuti dengan paddle shifter dan kemasan trim yang diperbuat daripada bahan CFRP.

Berita baik, tempat duduk belakang masih lagi dikekalkan, namun corong pendingin hawa baris kedua beserta butang kawalan telah dibuang daerah. Semua itu dibuat demi memastikan berat badan yang lebih ringan.
 

m3 cs

 


Rupa paras BMW M3 CS 2024 ini membawakan reka bentuk yang hampir sama dengan BMW M3 standard, hanya dibezakan menerusi perkara berikut:

  • lampu nyalaan siang DRL berwarna kuning - ikut tema M4 CSL, M5 CS
  • warna Signal Green daripada katalog Individual, atau warna Black Sapphire, Brooklyn Grey, Frozen Solid White Individual
  • kemasan kontur jeriji berwarna merah
  • logo M3 CS
  • rim 19 inci depan, 20 inci belakang daripada model CSL
  • balutan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2

 

m3


BMW akan membina model sedan M3 CS 2024 ini dalam jumlah yang terhad, namun angka sebenar tidak diberitahu buat masa ini.

Sebagai info, harga jualan BMW M3 CS 2024 ini bermula dari $118,700 (RM507,205).