BMW M340i xDrive - memang tangkap padu beb!

oleh SALINA JALIL|
Pada bulan Oktober 2020, BMW Malaysia telah melancarkan model M340i xDrive G20 untuk pasaran tempatan.


Yang paling menarik, ini adalah BMW varian M Performance yang pertama dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

rear bmw

 

Walaupun telah setahun ia menyusuri jalan raya di Malaysia, tetapi bagi Careta, ini adalah kali pertama kami dapat menyelami jiwa M340i dengan lebih mendalam lagi!


Pada penulis, pertama kali bertentang mata, terkesima sedikit, kerana rupa bentuknya tidak kelihatan begitu agresif dan seksi! 'Hidungnya' (grill depan) kelihatan seperti dikepit dengan penyepit baju!


Di bahagian belakang pula, lampunya juga agak sepet dan sebaris, tidak lagi 'bermata' besar seperti model-model terdahulu.


 

 

Sedikit kecewa dengan rupa pandangan pertama, penulis terus menghidupkan jantungnya. Bergegar jiwa penulis dibuatnya! Deruman dari ekzos teramat seksi dan memberikan senyuman kepada penulis. 


"Never judge a book by its cover", teringat pepatah Inggeris tersebut dan dalam situasi ini, sememangnya penulis tidak sabar menyantuni empat hari bersamanya.


Untuk makluman, BMW M340i ini diperkenalkan pada November 2018 di Los Angeles Auto Show.

 

side

 


M340i xDrive ini didatangkan dengan enjin 3.0 liter twin-scroll turbocharged B58 enam-silinder sebaris yang mampu menghamburkan kuasa hingga 387 kuasa kuda pada kadar 5,800 hingga 6,500 rpm dan daya kilas sehingga 500 Nm dari 1,800 hingga 5,000 rpm. 

 

Dan apa yang ada sekarang ini sebenarnya telah pun ditambah kuasa sebanyak 13 kuasa kuda berbanding mula-mula diperkenalkan tiga tahun dahulu.

 

 

Dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan serta pacuan semua-roda xDrive, ia membolehkan jentera ini dipecut dari kosong hingga 100 km/j dalam hanya 4.4 saat sahaja!!! Dan ini sememangnya terbukti apabila penulis 'menguji' di jalan yang selamat dan tiada kenderaan lain.


Kelajuan maksima M340i ini mampu mencecah 250 km/j dengan penggunaan bahan apinya dianggarkan 7.7 liter bagi setiap 100 km, dengan emisi karbon sebanyak 177g setiap km.

 

stereng

 


Pemanduan

 

Seperti yang kita sedia maklum, bab pemanduan sememangnya kebanyakan model BMW adalah juara dari segi ride and handling.


Dengan M340i ini, sememangnya keseronokan memandu bukan kaleng-kaleng! Tekan sedikit sahaja pendikit, ia meluncur dengan lincahnya bagaikan anda berada di atas flying carpet... 

 

 

gear knob

 


Keseronokan ini adalah disebabkan kehadiran suspensi Adaptive M Suspension yang 10mm lebih rendah dan menerima talaan khas. 


Suspensi berkenaan boleh dilara secara elektrik pada bila-bila masa mengikut kondisi jalan raya dan gaya pemanduan.

 

Keselesaan di jalanraya yang tidak rata dan berlubang-lubang mendapati ia masih lagi mengekalkan keselesaannya. Tidak begitu kasar tetapi tidak begitu lembut sehingga berbuai-buai. Paling penting, bunyi tayar meredah lubang diredam dengan baik.

 

 

Sistem pacuan semua roda BMW xDrive serba pintar ini menjanjikan pemanduan sporty dan sememangnya ia terbukti!


Apatah lagi dengan diferensial M Sport yang berfungsi mengoptimumkan cengkaman serta kestabilan, anda pasti terasa fungsi tersebut terutama apabila anda mengambil selekoh atau ketika membelok pada kelajuan tinggi.


Dan apabila anda berada di belakang sterengnya, pasti senyuman tidak lengkang dari bibir pemandu!

 

Segala pilihan mod pemanduan semuanya di hujung jari anda, mahukan pemanduan agresif serta garang, tekan saja mod 'sport', bunyi enjin akan berdesing dan semakin pantas ia 'pergi' walaupun anda hanya menekan sedikit saja pendikit!


Ditambah pula dengan kelengkapan luaran untuk spesifikasi M340i pasaran tempatan ini termasuk pakej M Aerodynamic, spoiler belakang M serta elemen kemasan BMW Individual high-gloss Shadow Line

 

 

Dengan kemasan Cerium Grey pada bahagian gril hadapan, sekeliling rongga udara hadapan dan juga perumah cermin sisi, penulis memerlukan sedikit masa untuk mengakui bahawa ia sebenarnya hensom dan menarik! Cuma anda memerlukan sedikit masa untuk melatih mata anda melihat 'kejantanan'nya.

 

Pemanduan pada sebelah malam pula, seperti mana model-model BMW sebelum ini, anda pasti tiada masalah walaupun tidak mempunyai power mata yang perfect 100%!  Dengan kilauan lampu utama BMW Laserlight, yang rabun ayam juga pasti cerah pandangan mata!

 

headlight


Yang penting ia tidak bersilau sehingga 'membutakan' pemandu lain di jalan raya!


Di bahagian belakang pula, terdapat ruang but yang besar sehingga 480 liter.  Di bahagian bawah pula, terdapat dua corong paip ekzos trapezoidal yang mana kedua-duanya berfungsi dan bukan sekadar perhiasan!
 

 

M340i ini didatangkan dengan roda aloi ringan 792 M jejari-berkembar bersaiz 19-inci yang menggunakan tayar dari jenis runflat. 


Untuk bahagian dalam kabin pula, M340i dihiasi dengan balutan upholstery kulit Vernasca, bersama skim warna Cognac

 

driver

 


Ditambah pula dengan elemen kemasan dalaman Aluminium Tetragon dengan serlahan krom mutiara serta BMW individual headliner dalam bayangan atrasit.


Bahagian tempat duduk juga menarik, dengan bucket seat yang teramat selesa dan tidak begitu 'mencengkam' sehingga menyekat pergerakan anda semasa memandu!
 

 

Untuk menghidupkan dan mewarnai lagi pemanduan anda, M340i ini didatangkan dengan sistem audio Harmon Kardon 464 watt dengan 16 speaker (pembesar suara)! Apa saja gendre musik yang dimainkan, sudah pasti anda berjoget bersama jentera ini!
 

Di ruang infotainmen juga didatangkan dengan paparan navigasi skrin sesentuh 10.25-inci, beserta pendingin hawa auto tiga-zon. 


Ruang kabin ini juga boleh diubah penataan cahaya ambien dengan 11 pilihan warna. 

 

audio

 

Dan ya, M340i ini didatangkan dengan sunroof/bumbung kaca dengan butang kawalan elektrik. 


Ciri-ciri lain yang terdapat di M340i ini adalah

- bantuan parkir, 
- kamera pandangan belakang 
- pakej Bantuan Pemanduan termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan pengelak pelanggaran belakang.

 

Harga untuk jentera perkasa ini bermula dari RM402,354.13 (tanpa insurans) dengan potongan cukai jualan. Yang pasti, sekiranya anda mencari sebuah kenderaan premium dan bertenaga muda, memberi anda kepuasan memandu, inilah dia jawapannya!

 

Nasihat penulis, sekiranya anda belum pernah memandu jentera Jerman ini dan ingin mengetahui maksud sebenar 'ride and handling',  anda perlukan pandu uji jentera BMW ini dan yang pasti anda akan terkesima dan menobatkan ini lah dia KING yang sebenar!

 

Kalau lah penulis kaya... hmmm...

Berita Berkenaan

Berita Global
Lambat laun, suka atau tidak, kita terpaksa menerima kenyataan bahawa tidak ramai yang gemar dengan…
Berita Domestik
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bersama sebuah jentera dikejarkan ke…
Berita Global
Ia berikutan dengan pelaburan sebanyak €650 juta (RM3.3 billion) untuk memperluaskan serta menaik…