Angka 46 sekali lagi diraikan di mana hanya 46 unit akan dihasilkan di kilang BMW Group Plant Dingolfing.
BMW sebenarnya 'menyusahkan' peminat apabila menawarkan dua varian iaitu Sport dan Style. Mungkin juga boleh bawa balik ke rumah dua sekaligus!
Tidak hanya 'menunggang' nama, rekaan kereta ini mendapat sentuhan langsung Valentino Rossi.
Sebelum itu apa kaitan BMW dengan Valentino Rossi? Selepas bersara, beliau giat berlumba dan merupakan pemandu BMW.
BMW M4 CS Edition VR46 digerakkan enjin 3.0 liter M TwinPower Turbo enam silinder sebaris yang menghasilkan 550 kuasa kuda (hp) dan 650Nm.
Enjin dipadan bersama kotak gear M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic untuk penukaran gear lebih pantas dan responsif.
Kuasa dihantar ke roda melalui pacuan semua roda pintar M xDrive dan pembeza M Active untuk kawalan optimum.
Pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.4 saat atau 3.1 saat dengan kaedah 1-foot rollout (kereta bergerak satu kaki).
Kelajuan tertinggi dihadkan kepada 302 kilometer sejam (km/j). Muzik dari enjin dibahagikan kepada dua muncung ekzos titanium dan kepak (flap) kawalan elektrik.
Kuasa lebih tinggi disumbang peningkatan tekanan pengecasan turbo kepada 2.1 bar dan tetapan pada pengurusan enjin.
Sementara itu, respon cemerlang tindak balas enjin disumbang cagak enjin khas dengan kadar kekenyalan gegelung (spring) ditingkatkan.
Sistem pembekalan minyak prestasi tinggi direka khas untuk aksi dl litar seperti ligatan (rev) tinggi yang berterusan dan pecutan ekstrem.
Dari segi pengendalian, sistem dan perkakasan casis M4 CS Edition VR46 ditala supaya selari dengan karakter prestasi, konsep keseluruhan dan pembahagian berat.
Penyerap hentak, pegas tambahan dan bar anti-oleng khas membantu mengoptimumkan ketepatan stereng serta kestabilan kenderaan semasa mengambil selekoh tajam.
Penyerap hentak elektronik boleh suai M Suspension dibuat khas untuk M4 CS Edition VR46 selain stereng elektromekanikal M Servotronic dan sistem brek bersepadu.
Sistem stereng elektromechanical M Servotronic dengan nisbah berubah-ubah memberikan kawalan yang lebih responsif.
Luaran kereta menonjol dengan nombor ikonik 46 pada beberapa bahagian kereta seperti pintu, bumbung gentian karbon (CFRP) dan tandatangan Rossi.
Lagi ciri-ciri khas seperti jeriji BMW M dengan garisan kuning, tandatangan Rossi, rim aloi ringan M dengan satu jejari V berwarna kuning untuk menandakan kedudukan injap tayar.
Pada bahagian dalam warna Night Blue menjadi tema. Kerusi M Carbon dibalut kulit Merino hitam dan Night Blue.
Logo VR46 kuning ditempatkan pada perehat kepala kerusi dan ambang pintu. Stereng Alcantara M diriasi jahitan dan penanda tengah kuning.
Varian Sport menggunakan warna Marina Bay Blue metallic dengan nombor 46 dalam warna Tanzanite Blue metallic.
Style pula dengan warna Frozen Tanzanite Blue metallic dan nombor 46 dalam warna Frozen Marina Bay Blue metallic.
Angka 46 sangat istimewa sehingga Tavullia, bandar tempat asal Rossi menurunkan had laju daripada 50 km/j kepada 46 km/j.
Nombor 46 diwarisi dari bapa beliau, Graziano Rossi yang menggunakannya dalam perlumbaan.
Selain menjadi pemilik, pelanggan juga dijemput ke VR46 Motor Ranch dan sesi bersama Valentino Rossi.
Hari kedua sesi pemanduan BMW M di Misano World Circuit Marco Simoncelli, litar beliau memenangi perlumbaan Sprint Cup GT World Challenge Europe pada 2023 dan 2024.
Sejak 2023, Valentino Rossi menjadi pemandu BMW M di dalam GT World Challenge Europe dan FIA World Endurance Championship (FIA WEC) termasuk 24 Hours of Le Mans.
Kecemerlangan beliau di dalam sukan permotoran diteruskan dengan menjadi naib juara Bathurst 12 Hour 2025 memandu BMW M4 GT3.
Penulis: Muhammad Md Tajudin