Daripada nombor satu sampailah nombor lapan.
Senang cerita:
- 1 Series - hatchback segmen C
- 2 Series - boleh didapati dalam versi Coupe, Gran Coupe dan MPV kompak
- 3 Series - sedan segmen D, boleh didapati dalam bentuk wagon
- 4 Series - boleh didapati dalam versi Coupe, Convertible dan Gran Coupe empat pintu (alternatif kepada 3 Series)
- 5 Series - sedan segmen E, juga didapati dalam versi wagon
- 6 Series - sedan fastback, alternatif kepada 5 Series
- 7 Series - sedan saiz penuh (segmen F)
- 8 Series - boleh didapati dalam versi Coupe, Convertible dan Gran Coupe empat pintu (alternatif kepada 7 Series)
Buat masa ini, angka tersebut boleh dikatakan cukup lengkap namun berdasarkan laporan terbaharu daripada laman web Australia Which Car, BMW dikatakan akan menggabungkan model-model dari keluarga 4 Series (Coupe & Convertible) dan 8 Series (Coupe & Convertible) menjadi satu keluarga tunggal 6 Series menjelang tahun 2026.
Difahamkan, model 6 Series sedia ada yang menampilkan bentuk badan GT itu akan dihentikan penawarannya, menjadikan portfolio 6 Series pada masa akan datang akan menjadi sesuatu yang lebih berbeza.
Sementara model 8 Series Gran Coupe pula akan diserap masuk ke dalam keluarga 7 Series untuk menjadi alternatif kepada penawaran sedan berbentuk tradisional tiga kotak.
Permintaan terhadap coupe dan convertible semakin merudum bukan sahaja memberikan kesan kepada BMW, malah Mercedes-Benz turut sama mengambil langkah yang sewajarnya dengan menghentikan penawaran model S-Class versi coupe dan convertible, selain terdapat ura-ura untuk menyatukan C-Class coupe dan E-Class coupe menjadi satu model tunggal CLE-Class.
Sumber: Which Car