Ketua divisyen M, Frank van Meel, sebelum ini mengakui bahawa dari sudut kejuruteraan, transmisi manual sebenarnya sudah tidak begitu relevan.
Ini kerana transmisi manual mempunyai had tork tertentu, berbanding automatik yang mampu mengendalikan sepenuhnya kuasa daripada enjin enam silinder turbo BMW.
Untuk membangunkan manual yang lebih tahan lasak, kosnya pula sangat tinggi, satu pelaburan yang sukar dipulangkan memandangkan permintaan semakin menurun.
Namun begitu, BMW masih belum berputus asa, menurut Naib Presiden divisyen M, Sylvia Neubauer, jurutera BMW sedang mencari penyelesaian untuk memastikan pedal klac terus relevan walaupun enjin semakin berkuasa.
Walaupun butiran teknikal belum didedahkan, beliau memberi bayangan bahawa satu penyelesaian sedang dibangunkan.
Antara pendekatan yang mungkin digunakan ialah mengehadkan kuasa enjin secara sengaja bagi melindungi ketahanan transmisi manual.
Pendekatan itu sebenarnya sudah digunakan sebagai contoh, BMW M2 versi automatik menghasilkan sekitar 50 Nm lebih tork berbanding versi manual, ia menunjukkan kompromi perlu dibuat untuk mengekalkan transmisi manual dalam barisan produk.
Dalam masa sama, BMW menegaskan bahawa enjin pembakaran dalaman (ICE) masih mempunyai masa depan, khususnya dalam model berprestasi tinggi.
Malah, generasi baharu BMW M3 telah disahkan akan terus menggunakan enjin enam silinder, dengan pelancaran dijangka sekitar 2028.
Buat masa ini, pilihan manual dalam barisan global BMW semakin mengecil, ,model seperti BMW Z4 M40i telah ditamatkan pengeluaran, meninggalkan hanya M2, M3 dan M4 sebagai model yang masih menawarkan transmisi manual.
Namun, jangka hayatnya mungkin tidak lama, dengan pengeluaran dijangka berakhir menjelang penghujung dekad ini.
Hakikatnya, cabaran terbesar manual bukan sekadar permintaan rendah, ia turut melibatkan faktor penggunaan bahan api yang lebih tinggi, peraturan emisi yang semakin ketat.
Cabaran itu turut didorong oleh kesukaran pengeluar komponen untuk menghasilkan transmisi manual dalam jumlah kecil, tambahan pula dengan sistem bantuan pemandu moden kini lebih serasi dengan transmisi automatik.
Dalam era elektrifikasi, manual masih ‘hidup’, tetapi dalam keadaan semakin terhimpit, usaha BMW untuk mengekalkannya menunjukkan masih ada nilai emosi dan pengalaman pemanduan yang tidak boleh digantikan walaupun realitinya, masa depan manual semakin samar dalam era elektrifikasi dan automasi.
Sumber: Automobilwoche