BMW R9T Urban GS - Resipi badan kecil enjin besar menjadi!

oleh HEZERI SAMSURI|
Pertama kali melihat motosikal BMW R9T ini, dari hadapan, ia seperti sebuah scrambler tahun 80-an, sezaman Ali Setan.

Dari belakang pula, BMW ini seperti sebuah cafe racer - minimalist. 
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Mungkin itulah yang menariknya akan R9T Urban GS ini. Rekabentuk yang ringkas tetapi masih mengekalkan identiti BMW kerana warna putih dengan belang biru tua dan biru muda pada tangki serta pelana berwarna merah yang amat kontras. Hmmm... sebenarnya ia sinonim dengan sebuah BMW GS.


 

 

Enjin boxer yang berkuasa 1,170cc pada R9T memberikan kuasa yang diimpikan oleh semua penunggang kerana kebiasaan motor cafe racer mempunyai kapasiti yg kurang dari 1,000cc. Ya, cafe racer banyaknya lebih pada gaya dan tak begitu banyak pada kuasa. Bukan untuk BMW ini kerana ia menggunakan enjin dari siri R1200 terdahulu yang ditala kembali untuk kegunaan siri R9T.

Masalah dengan enjin besar ialah berat, dan walaupun Urban GS ini melebihi 220kg, ianya bukanlah menjadi masalah kerana kami menunggangnya kebih dari memikulnya.

Kami dapati R9T yang ini sangat mudah dikendalikan  -seperti sebuah motosikal naked 400cc dengan enjin yang galak. Respon pendikitnya lancar dan tepat manakala proses penukaran gear sungguh lembut. Pulaslah pendikit serakus manapun, kita tidak akan merasa tersentap sentap sebaliknya terus lancar ke hadapan.  

 

 

Dalam erti kata lain, walaupun anda baharu sahaja mula menunggang motosikal besar, R9T ini masih "jinak" untuk berkawan. Bagi mereka yang sudah mencapai taraf "otai", R9T mengajak anda menjadi errr ... nakal.

Kami melalui lebuhraya Utara-Selatan dari Plaza tol UPM-Serdang menghala ke selatan. Semasa dilebuhraya, kelajuan tunggangan yg sesuai ialah di antara 120-140kmh. Ini ialah kerana kerana model Urban GS ini tidak mempunyai windshield yang tinggi dan rintangan angin agak kuat sehingga melemaskan. 

Kami juga sempat mencuba halaju maksimum ketika laluan kosong. Dengan posisi badan tunduk rapat ke tangki sambil cuba menyorok di balik skrin kecil itu, kami dapat lihat jarum kelajuan mencecah 220 kmsj untuk beberapa ketika.   

 

 

Penggunaan steering-damper juga berkesan kerana hendal terasa mantap dan tidak ada ciri-ciri ia akan memberikan anda tamparan tangki (tank slap) yang berjiwa pembunuh.

Keluar dari lebuhraya di Exit Pedas-Linggi, kami susuri jalan kebangsaan ke Masjid Tanah. Jalan yang romantik ini memang antara laluan kegemaran kami. Ia memberikan kami peluang terbaik untuk melayan selekoh-selekoh dan menguji keupayaan R9T ini, terutama daya kilas atau torque ketika memotong dan ketika hendak "menarik" keluar dari apex selekoh. 

 

urban brek

 

Kami juga dapat menguji keupayaan pendikit; kelancaran (roll-on, roll-off) dari kelajuan rendah kepada posisi diperah habis atau WOT (Wide Open Throttle). 

 

 

Ternyata, motosikal ini begitu cemerlang melayan selekoh tajam atau selekoh panjang dan ianya sangat stabil. Pendikit juga telus dan tidak teragak-agak dalam hantaran tenaga ke shaft roda belakang. Ini disempurnakan lagi dengan tayar Metzeller bersaiz 170 belakang dan 120 hadapan yang diakui menawarkan cengkaman yang cemerlang, baik keadaan jalanraya lembap atau kering.

Kadar kemantapan brek-brek Brembo cukup sepadan dengan talaan sistem gantungan yang jelas dirasa sewaktu kita membrek dengan keras. Kita tidak terasa seperti  akan terhumban ke hadapan.

 

 

Dengan adanya sistem ABS, pastinya kami berasa yakin untuk mengendalikan R9T ini di dalam hujan atau permukaan yang basah. Ini dapat diuji ketika kami sedang menikmati selekoh-selekoh dari simpang tol Pedas/Linggi ke kawasan lubuk Cina dan tiba-tiba beberapa ekor lembu berpendapat ia adalah masa yang terbaik untuk mereka melintas jalan.

 

urban light

 

Alhamdulillah, kerangka, brek hadapan dan belakang serta penyerap hentak dan ABS kesemuanya berfungsi seperti sebuah orkestra, membenarkan kami berhenti untuk melihat perarakan lembu-lembu itu. Nasib baik bukan Hari Raya Haji yang menjelang kerana jika tidak, pasti penulis akan membeli kesemuanya untuk dikorbankan.

Dari segi posisi menunggang, R9T ini selesa dan tidak memenatkan kerana kedudukan hendal dan pelana memberikan posisi tunggangan menegak . Walaubagaimana pun, pelana yang nampak ringkas ini akan lebih selesa sekiranya lebih lebar kerana ianya agak tirus untuk perjalanan jauh dan mungkin boleh dimodifikasi supaya lebih lebar.

 

 

Paparan meter di hadapan (ada ke meter di belakang?) gabungan analog dan digital nampak retro. Panel LCD memberikan bacaan odometer, tripmeter, suhu dan waktu. Malangnya, meter R9T ini tidak dilengkapi dengan penunjuk posisi gear dan kerapkali merasakan masih ada gear terakhir. Rupanya sudah masuk gear enam!

 

urban 1

 

Ketika berada di kawasan Lubuk Cina, lampu amaran bahanapi berkelip-kelip dan menunjukkan baki kilometer yang masih boleh di teruskan dengan R9T ini. Selepas mengisi bahanapi sebanyak RM27 (RON95) untuk isian satu tangki penuh, kami teruskan perjalanan ke Mastana, nama glamour ala Itali-Parsi untuk Masjid Tanah. 

Nampaknya setangki penuh R9T Urban GS ini mampu pergi sejauh 200km, tetapi ia bergantung kepada gaya tunggangan masing masing.

 

 

Deruman exzos "titanium" agak kuat walaupun ianya standard kilang. Merdu dan ya, terasa hebat bila ia meletup-letup dengan nada jentera Eropah. Warna legap perak pada "tabung" peredam ekzos itu juga dikatakan seksi.

BMW R9T ialah satu siri motosikal gaya hidup untuk jenama Jerman itu. Memang kita tahu, sasaran BMW untuk R9T ialah kelompok pelanggan yang sama dengan Ducati Scrambler. Cuma BMW menawarkan enjin boxer sejukan udara/minyak yang lebih terbukti dan lebih "legend".

 

 

Sistem "shaft" bukan sahaja membantu memudahkan penyelenggaraan, ia juga "lebih BMW" dan dalam pasaran gaya hidup, gaya yang lebih original, lebih rare, lebih kaya dengan sejarah dan yang lebih agresif pasti akan dihargai. 

Cuma dengan harga RM84,836.72 (dahulu semasa zaman GST 6-peratus, harganya RM87,900), ada banyak motosikal dari genre lain di dalam pasaran. Hanya penunggang yang benar-benar mampu sahaja akan membeli Urban GS ini sebagai motosikal kedua atau ketiga mereka.

 

 

Untuk dijadikan satu-satu sahaja motosikal di dalam garaj, nampaknya anda akan lebih menunggang di kawasan bandar dan di sekitarnya sahajalah kerana R9T memang lebih selesa untuk perjalanan dekat.

- Laporan oleh Fadzil Ishak


Spesifikasi

  • Enjin
    • Flat twin Boxer 4-stroke double camshaft 1,170cc twin-spark
  • Kuasa maksimum
    • 110 hp @ 7,750 rpm
  • Daya kilas maksimum
    • 116 Nm @ 6,000 rpm
  • Transmisi
    • Klac kering tunggal dengan operasi hidraulik, 6-kelajuan, shaft
  • Sistem gantungan
    • Hadapan - fork teleskopik 43 mm
    • Belakang - Paralever 
  • Saiz tayar
    • Hadapan - 120/70 R19
    • Belakang - 170/60 R17
  • Brek
    • Hadapan - Brembo cakera 320 mm kembar dengan angkup 4-piston
    • Belakang - Cakera tunggal 265 mm dengan angkup 2-piston
  • Berat basah dengan setangki penuh bahanapi
    • 221 kg
  • Saiz tangki bahanapi
    • 17 liter
  • Harga: RM84,836.72 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tertuduh, P Kuhan Raj, 31, yang juga peniaga kedai telefon bimbit bagaimanapun mengaku tidak…
Berita Global
  Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Reka Bentuk Kumpulan BMW, Adrian van Hooydonk di Milan, Itali…
Berita Global
  M5 Touring digerakkan enjin 4.4 liter V8 biturbo dengan padanan kotak gear automatik M…