BMW saman BYD di Indonesia atas penggunaan nama "M6"

oleh Danial Yasin Suhaimi|
BMW Group Indonesia dilapor telah mengambil tindakan undang-undang terhadap BYD di Indonesia atas penggunaan nama "M6" bagi model yang dijual di negara tersebut.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Menurut laporan Otodriver, BMW kini menyaman BYD di Indonesia atas penggunaan nama tersebut, dengan mendakwa ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan.

Walaupun nama M6 turut digunakan untuk model yang sama di Malaysia, BMW Indonesia nampaknya mempunyai asas tuntutan yang kukuh kerana nama M6 telah didaftarkan sebagai tanda dagangan lebih awal dengan Direktorat Jenderal Kekayaan Intelektual Indonesia.

Pengarah Komunikasi BMW Group Indonesia, Jodie O’tania, memberitahu Otodriver bahawa syarikat itu komited dalam melindungi hak harta inteleknya serta mengekalkan eksklusiviti produknya.

 

2

 

“BMW Group Indonesia menegaskan komitmennya untuk melindungi hak harta intelek serta mengekalkan standard kualiti dan eksklusiviti produk BMW."

"Berkaitan dengan penggunaan jenama M6 oleh pihak lain di Indonesia, kami akan terus mengikuti perkembangan proses perundangan ini dan menghargai sokongan serta kepercayaan pelanggan dan rakan kongsi BMW di Indonesia,” kata Jodie.

Bagaimanapun, BYD Indonesia menyatakan bahawa saman tersebut tidak akan menjejaskan perniagaannya di negara itu.

Ketua Pemasaran PR & Hubungan Kerajaan, Luther T. Panjaitan berkata, “Memang benar terdapat tuntutan mahkamah antara BMW AG dan BYD Indonesia di Mahkamah Komersial di Pengadilan Negeri Jakarta Pusat. Ketika ini, ia sedang ditangani oleh bahagian perundangan kami, dan kami sedang memantau perkembangannya.”