
BMW sememangnya mempunyai sejarah panjang memperkenalkan kereta konsep di Concorso d’Eleganza Villa d’Este, sebuah acara kereta klasik berprestij di tepi Tasik Como, Itali. Setelah mendedahkan Skytop pada tahun 2024, kini BMW membuka selubung Concept Speedtop, yang pada asasnya adalah versi shooting brake kepada model convertible tersebut. Dan seperti Skytop yang berasaskan 8-Series, Speedtop juga akan memasuki fasa produksi terhad.

Dari segi reka bentuk, Speedtop berkongsi bahasa rekaan yang sama dengan Skytop. Ia menggunakan lampu depan berjalur sempit dan muncung depan bergaya ‘hidung jerung’. Gril ginjal berlampu mengekalkan palang melintang yang sama, sementara garisan karakter yang kuat mengalir dari lampu depan ke lampu belakang, membentuk bahagian belakang yang sasa.

Kabin Speedtop hampir menyamai sepenuhnya Skytop, yang mana kedua-duanya berpunca dari platform coupe 8-Series. Speedtop menampilkan interior dua tona: kulit Sundown Maroon di papan pemuka, konsol tengah dan panel atas pintu; serta kulit Moonstone White pada tempat duduk dan bahagian bawah pintu. Jalur lampu LED nipis di pelapik bumbung mencerminkan rabung tengah di bumbung luar. Beberapa lencana “Speedtop” diletakkan dalam kabin sebagai peringatan status istimewanya.

Ruang but Speedtop juga cukup mewah, dilapik kulit dan disinari cahaya LED lembut mengelilingi keseluruhan kawasan kargo. Tiada tempat duduk belakang; sebaliknya, terdapat dua rak khas untuk beg, lengkap dengan tali kulit untuk mengikat barang. BMW turut bekerjasama dengan pembuat barangan kulit Itali, Schedoni, bagi menghasilkan beg khas yang muat dengan ruang ini, termasuk beg duffel eksklusif untuk but.

BMW tidak mendedahkan spesifikasi penuh mekanikal Speedtop, hanya menyebut ia menggunakan “enjin V8 paling berkuasa yang ditawarkan BMW pada masa ini.” Berdasarkan maklumat Skytop, besar kemungkinan Speedtop dikuasakan oleh enjin V8 4.4 liter twin-turbo dengan 617 kuasa kuda, disalurkan ke keempat-empat roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

Jika Skytop hanya dihasilkan sebanyak 50 unit, Speedtop akan ditambah kepada 70 unit. Buku tempahan kini dibuka. Tiada harga rasmi diumumkan, tetapi Skytop dikhabarkan berharga lebih USD 500,000 (sekitar RM2.3 juta), dan kemungkinan besar Speedtop akan berada dalam julat harga yang serupa.
