BMW X5 xDrive45e rasmi dilancarkan - SUV plug-in hybrid, bermula dari RM441 ribu

oleh Mohamad Hanif|
SUV BMW X5 atau lebih dikenali dengan gelaran The Boss akhirnya menerima varian pemasangan tempatan (CKD) serba baharu, BMW X5 xDrive45e M Sport yang dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tahun lalu sahaja, BMW berjaya mencatatkan jumlah pengedaran BMW X5 lebih 25 peratus daripada jumlah keseluruhan barisan model X BMW, dengan angka melebihi 3,000 unit.

Dengan pengenalan varian baharu ini, ia bakal mengukuhkan lagi legasi yang telah dipegang oleh model terdahulu.

 


Model SUV plug-in hybrid BMW X5 xDrive45e ini didatangkan dengan enjin 3.0 liter enam silinder sebaris yang dikombinasikan dengan teknologi eDrive dari BMW.

Dengan output maksimum 394 hp dan daya kilas 600 Nm, SUV ini mampu memecut sepantas 5.6 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 235 km/j.

Dalam mod elektrik sepenuhnya, BMW X5 ini mampu menawarkan jarak operasi sejauh 77 km dan masih mampu bergerak dalam kelajuan 135 km/j sebelum memberikan pulangan bacaan penggunaan bahan api serendah 2.5 liter/100 km.

 


Sistem transmisi pula adalah daripada jenis Steptronic lapan nisbah kelajuan yang menyalurkan kuasa kepada sistem pacuan semua roda xDrive.

Dari segi penampilan, BMW X5 xDrive45e ini dilengkapi dengan pakej M Sport yang merangkumi rim aloi M bersaiz 20 inci serta sistem brek M Sport.

 


Sementara ruang dalaman pula turut dilengkapi dengan upholsteri Vernasca, roda stereng M Sport, tempat duduk boleh laras berkuasa elektrik dengan fungsi memori, sistem pendingin hawa empat zon automatik, dan panel instumen Sensatec.

Sistem audio pula adalah daripada jenama Harman Kardon dengan bantuan 16 unit pembesar suara 464 watt.

Tidak ketinggalan, sistem BMW Live Cockpit Professional yang hadir dengan Gesture Control dan Intelligent Personal Assistant di mana ia terdiri daripada skrin instrumen digital bersaiz 12.3 inci serta skrin kawalan bersaiz serupa.

 


Manakala penumpang belakang masing-masing mampu mengakses Rear Seat Entertainment Professional dengan kehadiran skrin sentuh bersaiz 10.2 inci, serta kehadiran slot pengecasan peranti pintar nirwayar.

Ciri keselamatan standard yang ditawarkan termasuklah BMW Personal CoPilot yang terdiri daripada Amaran Keluar Laluan, Amaran Penukaran Laluan, Amaran Pelanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Pengelakan Pelanggaran Belakang dan informasi had kelajuan.

Untuk kemudahan penggunaan, SUV ini juga turut didatangkan dengan Parking Assistant Plus dengan Surround View Camera, serta Reversing Assistant yang memberikan bantuan berbentuk visual ketika mengundurkan kenderaan ditempat yang sempit.

 


Selain daripada pakej M Sport tersedia, pihak BMW turut menawarkan pakej naiktaraf BMW M Performance Genuine Parts anda Accessories yang merangkumi inlet bukaan udara hadapan, pelindung cermin sisi, winglet hadapan dan belakang, dan diffuser belakang - kesemuanya diperbuat daripada gentian karbon.

Harga jualan BMW X5 xDrive45e M Sport ini bermula dari RM440,745.00 tidak termasuk insurans dan turut merangkumi pakej pemilikan premium seperti:

  • Jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan, dengan program servis berkala percuma
  • Jaminan 8 tahun/100,000 km untuk pek bateri
  • Jaminan tayar 2 tahun/24 bulan untuk penawaran tayar Run Flat
  • Bantuan tepi jalan dan talian kecemasan
  • BMW Group Loyalty+ Mobile App - BMW White Card
  • BMW Service Online

Dengan pelan pembiayaan Balloon Financing Plan, anda juga boleh memiliki BMW X5 ini dengan bayaran bulanan serendah RM5,028.00 tertakluk kepada syarat seperti pinjaman 80 peratus dan tempoh sehingga lima tahun.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sebelum ini, pengedar Auto Bavaria membawakan kumpulan pertama BMW X5 xDrive45e yang terdiri…
Berita Domestik
Mereka mungkin mempunyai pelbagai kenderaan lain tetapi yang mereka akan gunakan setiap hari ialah…