BMW XM 2023 - super SUV berkuasa 644 hp, 800 Nm

oleh Mohamad Hanif|
BMW kini mula memasuki arena super SUV yang selama ini dikuasai oleh jenama seperti Lamborghini, Aston Martin dan juga Porsche menerusi pengenalan model BMW XM.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Ini merupakan kenderaan berprestasi tinggi pertama daripada M yang menampilkan trenkuasa berelektrik, serta produk pertama BMW Motorsport yang tidak menggunakan asas daripada model jalanan BMW.
 

bmw


BMW XM dikuasakan oleh nadi bentangan V8 4.4 liter turbo berkembar yang mampu menjana kuasa 483 hp dan daya kilas 650 Nm yang disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Digandingkan dengan motor elektrik yang terletak di dalam transmisi, kuasa keseluruhan mampu mencecah 644 hp @ 5,400 rpm dan daya kilas 800 Nm yang masuk penuh antara 1,600-5,000 rpm.

Pek bateri pula adalah berkapasiti 25.7 kWh yang membolehkan SUV ini bergerak tanpa mengeluarkan emisi untuk jarak yang dekat, sekitar 50 km sahaja.
 

bmw


Atas kertas, BMW XM merupakan kereta M yang paling berkuasa di atas jalan, namun dengan badan yang agak berat (2,750 kg), BMW XM hanya mampu memecut 0-96 km/j dalam masa 4.1 saat, lebih perlahan berbanding BMW X6 M (3.8 saat) sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.

Malah, pesaing di dalam kelasnya juga rata-rata memiliki prestasi yang lebih pantas, seperti contoh Porche Cayenne Turbo S E-Hybrid (3.6 saat) dengan kelajuan tertinggi 295 km/j.

Meskipun dengan tambahan pakej M Driver, kelajuan tertinggi BMW XM hanya boleh ditingkatkan kepada 270 km/j sahaja.

Namun begitu, menurut BMW dengan kombinasi jarak antara roda panjang, pengagihan berat hampir 50/50 dan titik graviti yang rendah memastikan BMW XM ini mampu menawarkan gandingan prestasi dan keselesaan yang lebih baik, ditambah dengan bantuan motor elektrik yang mampu menjadikan pecutan mula lebih mengujakan.
 

Xm


Secara standard, BMW XM hadir dengan sistem pacuan semua roda, namun pengagihan daya kilas boleh dilebihkan kepada gandar belakang apabila mod 4WD Sport diaktifkan, dibantu dengan differential M Sport, penstabilan olengan aktif, dan sistem stereng roda belakang yang merupakan ciri pertama untuk sebuah BMW M.

Mengikut jejak langkah model terkini, BMW XM turut didatangkan dengan rekaan lampu utama terpisah, rekaan jeriji utama bersaiz besar dengan sistem iluminasi, rekaan tip ekzos bertindih pada bahagian kanan dan kiri bampar, serta rekaan lampu belakang dengan grafik agresif.
 

XM


Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim gergasi bersaiz 23 inci, atau opsyen penurunan saiz kepada 22 dan 21 inci yang mungkin akan menjadikan penampilan XM ini kurang gagah perkasa.  

Menjelang musim panas, BMW akan melancarkan sebuah lagi model BMW XM yang lebih berkuasa, digelar sebagai BMW XM Label Red dengan tetapan trenkuasa yang sama didatangkan dengan talaan yang mampu menjana kuasa setinggi 735 hp dan 997 Nm.

BMW bakal menawarkan lebih daripada 50 pilihan cat BMW Individual yang boleh dipilih, serta opsyen kemasan trim NightGold Metallic pada bahagian jeriji hadapan, diffuser, serta salutan pada rim bersaiz 23 inci itu.
 

XM


Memasuki ruang kabin, BMW XM ini didatangkan dengan susun atur papan pemuka yang hampir sama dengan model BMW X7, lengkap dengan sistem operasi iDrive 8, kemasan bahan kulit Vintage Coffee Merino pada panel pintu dan papan pemuka yang lebih premium, serta tempat duduk yang mampu memuatkan sehingga empat orang sahaja pada satu-satu masa.

Harga jualan BMW XM bermula dari $159,000 (RM734,421).

Berita Berkenaan

Berita Global
Yang mencuri tumpuan bukan sahaja aksi perlumbaan yang dipamerkan, kebanyakan mata-mata tertumpu…
Model Terbaharu
Secara standard, XM 2023 dikuasakan oleh enjin S68 V8 4.4 liter TwinPower Turbo dengan sistem BMW M…
Berita Global
Secara standard, BMW XM mendapat nadi bentangan V8 4.4 liter turbo berkembar yang mampu menjana…