BMW berkata ia telah menjual hampir 193,000 unit kenderaan "ber-elektrik", iaitu termasuk varian-varian PHEV dalam tahun 2020. Namun begitu syarikat itu gagal untuk memberikan jualan bagi kenderaan EV sahaja.
Dalam tahun yang sama, Tesla telah menjual hampir 500,000 unit EV.
Selasa lalu BMW turut berkata jualan EV global meningkat kepada 31.8 peratus dalam tahun 2020 dan pegangan pasaran di Eropah untuk EV ialah 15 peratus.
Careta merasakan selagi jarak perjalanan untuk model-model EV dari BMW tidak sehebat Tesla, BMW akan terus menjual lebih banyak model PHEV sahaja.
Di Malaysia, model-model PHEV dari BMW mendapat perhatian kerana menerima insentif dari pihak kerajaan. Tidak dapat dipastikan seramai mana pemilik PHEV di Malaysia yang benar-benar menggunakan mod tenaga elektrik sahaja kerana jarak perjalanan yang terlalu singkat.
BMW F30 330e contohnya, hanya mampu berjalan sejauh 35 km dengan mod elektrik sahaja sementara Mercedes-Benz C350e pula mempunyai jarak sejauh 31 km dengan hanya menggunakan tenaga baterinya sahaja.
Ada juga pemilik-pemilik PHEV tempatan yang berkata pembelian mereka itu masih satu "usaha" untuk menyelamatkan alam sekitar, walaupun mereka seperti terlupa fakta bahawa Malaysia mempunyai EV baharu dan terpakai yang jauh lebih mampu milik dari model-model PHEV mereka.
Yang pasti, sekiranya BMW mempunyai varian EV dengan jarak perjalanan sejauh 450 km dan waranti bateri yang baik, ia mempunyai harapan untuk meningkatkan jualan kenderaan elektrik sepenuhnya kerana dalam apapun kes, BMW masih mampu memberikan kepuasan pemanduan yang lebih baik dari mesin basuh elektrik bergerak keluaran Amerika Syarikat itu.