Menurutnya, musim tengkujuh bermula awal Disember lalu sehingga awal Januari ini mengakibatkan perkhidmatan bot pelancongan itu terpaksa ditutup kerana paras dan kelajuan air Sungai Melaka yang berada pada tahap berbahaya untuk aktiviti rekreasi.
“Operasi MRC bergantung kepada dua faktor terbabit yang mana jika arus terlalu deras, bot tidak mampu menampung keadaan itu kerana rekaannya sesuai untuk rekreasi dan bukanlah bot untuk penyelamatan dan sebagainya.
“Kedua, adalah paras air tidak boleh melebihi ketinggian 1.1 meter atau kurang daripada 0.9 meter kerana jika terlalu tinggi, ia tidak boleh melepasi beberapa jambatan sepanjang sungai.
“Jadi sepanjang sembilan hari penutupan iaitu empat hari pada Disember dan lima hari pada Januari lalu, dianggarkan kita kehilangan pendapatan lebih RM500,000,” katanya pada hari Jumaat.
Menurutnya, anggaran itu berdasarkan pendapatan harian antara RM30,000 pada hari biasa dan RM110,000 pada hujung minggu atau cuti umum.
“Angka ini bagaimanapun mungkin berubah-ubah bergantung kepada cuaca atau musim tertentu seperti cuti sekolah, perayaan atau cuti umum.
“MRC sebenarnya adalah pelengkap kepada industri pelancongan di Melaka sebab itu aspek keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan berbanding keuntungan membuatkan kami amat berhati-hati untuk beroperasi pada musim tengkujuh,” katanya.