Brabus 800 - SUV jahat Mercedes-AMG GLS 63 berkuasa 800 PS, 0-100 dalam 3.8 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Selagi Mercedes-AMG tidak pernah berhenti menawarkan barisan model-model pantas, selagi itu juga penala terkenal Brabus tidak akan berhenti mencurahkan magis serta sentuhan mereka khusus buat mereka yang tidak pernah kehabisan duit.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Bagi mereka yang masih mencari-cari sebuah SUV yang serba jahat talaan Brabus, ini merupakan contoh terbaik yang datang dari syarikat penala Jerman itu.

Disebalik rupa bentuk Brabus 800 yang garang itu, ia sebenarnya merupakan sebuah SUV pantas Mercedes-AMG GLS 63 yang berupaya menjana output 800 PS dan daya kilas 1,000 Nm secara standard!

 


Ini kerana Brabus telah menjalankan modifikasi terhadap sistem pengecas turbo dan perisian pengurusan enjin serba baharu bagi membolehkan enjin asal 4.0 liter bentangan V8 turbo berkembar itu menghamburkan kuasa tambahan 188 PS dan 150 Nm.

Disebabkan peningkatan kuasa itu, Brabus 800 memiliki keupayaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 280 km/j secara elektronik.

 


Segala sisa pembakaran dilepaskan ke atmosfera menerusi sistem ekzos keluli tahan karat dengan empat tip ekzos titanium untuk menjadikan deruman enjin V8 yang lebih sporti, atau menekan mod 'Coming Home' untuk bunyi yang lebih mesra kejiranan.

Sistem suspensi telah diberikan modul kawalan khas supaya boleh merendahkan badan SUV ini sebanyak 25 mm, selain membolehkan Brabus memasang rim bersaiz 24 inci pada keempat-empat sudut arca roda.

Rim Brabus Monoblock M Platinum Edition itu dibaluti tayar bersaiz 295/35.

 


Rupa jahat Brabus 800 ini disumbangkan oleh beberapa perubahan seperti apron hadapan, pemesong udara, gril, pelindung arca roda, dan spoiler di mana kesemuanya diperbuat daripada bahan gentian karbon.

Keseluruhan badan Brabus 800 dilayangkan warna hitam dan dikontraskan dengan jalur merah dan logo Brabus yang bercahaya pada gril hadapan.

 


Ruang kabin Brabus 800 ini turut menampilkan tema yang serupa, iaitu hitam dan merah, disertai dengan elemen gentian karbon pada papan pemuka dan panel pintu sementara pedal, paddle shifter dan pin pintu pula diperbuat daripada bahan aluminium.

Brabus 800 yang ditunjukkan dalam artikel ini merupakan contoh yang dipamerkan dalam laman web Brabus dengan harga €308,968.40 (RM1,558,356) dan memiliki jarak perbatuan 300 km.

 


Namun, para pemilik Mercedes-AMG GLS 63 boleh mendapatkan khidmat bantuan daripada Brabus secara menyeluruh atau berperingkat.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Brabus 800 yang dipaparkan kali ini sebenarnya merupakan sebuah Mercedes-AMG E 63 S yang telah…