Brabus lancar 900 XLP berkuasa 888 hp, 1250 Nm, 10 unit sahaja dalam dunia

oleh Mohamad Hanif|
Brabus masih lagi belum puas menawarkan magis mereka untuk model Mercedes-AMG G 63, dan terbaharu mereka menawarkan model yang digelar sebagai 900 XLP.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Brabus 900 XLP dikatakan model berasaskan G 63 AMG yang paling berkuasa pernah dihasilkan, di mana nadi bentangan V8 turbo berkembar 4.5 liter itu kini mampu menghamburkan kuasa setinggi 888 hp dan daya kilas 1,250 Nm.

Kuasa itu mampu dicapai terima kasih kepada talaan semula kepada unit pengecas turbo dan penggunaan sistem ekzos keluli tahan karat serba baharu.

Enjin V8 itu dipadankan dengan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan dan sistem pacuan empat roda, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.4 saat sahaja.
 

Brabus


Namun, kelajuan tertinggi dihadkan kepada 209 km/j sahaja.

Menjadikan 900 XLP ini lebih berkeupayaan off-road, pihak Brabus telah melengkapkan beberapa aksesori seperti rak bumbung, empat lampu bantuan LED, kit badan lebar, serta rim tempa Monoblock Z HD bersaiz 22 inci yang dibaluti tayar off-road.

Sistem gantungan asal G 63 telah ditala semula dengan tambahan modul Brabus Ride Control, serta digandingkan dengan gandar portal di depan dan belakang bagi membolehkan jarak kelegaan tanah setinggi 490 mm.

Kemasan gentian karbon yang terdapat di luar turut diteruskan penawarannya pada ruang kabin, diikuti dengan upholsteri kulit Mondial Black dan sulaman 'seashell diamond', serta skema warna Rocket Red pada sesetengah tempat.
 

Brabus


Menjadikan penawaran 900 XLP lebih menarik adalah kehadiran ciri pengurusan bunyi aktif, di mana pemilik boleh memilih tetapan bunyi V8 yang lebih bertenaga dalam mod Sport, sehinggalah kepada bunyi yang lebih mesra kejiranan dalam mod Coming Home.

Tiada sebarang harga jualan diumumkan, namun sebagai perbandingan, model Brabus 800 XLP dijual bermula dari £500,000 (RM2.74 juta).

Brabus hanya akan menghasilkan kira-kira 10 unit sahaja model 900 XLP.

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk makluman, nama Brabus itu sendiri diambil daripada tiga huruf pertama kedua-dua individu…
Berita Global
Brabus 900 Rocket R ini asalnya sebuah Porsche 911 Turbo S, ia bukan sahaja membawakan rupa paras…
Berita Global
Seperti contoh, sedan saiz penuh EQS 53 AMG yang tampil dengan motor elektrik berkembar yang telah…