Brabus Rocket 900 - sedan jahat 888 hp/1,250 Nm, 0-300 km/j 23.9 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada sedan paling jahat di dunia, Merc..maaf, ini Brabus Rocket 900, dan ia merupakan model asal Mercedes-AMG GT 63 S 4-Door yang telah menerima sentuhan magis daripada Brabus.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Sebagai sebuah ahli keluarga baharu dalam siri Rocket, Brabus telah menala kembali enjin asal 4.0 liter bentangan V8 turbo berkembar dengan sesaran yang dinaikkan kepada 4.5 liter.

 


Selain daripada itu, Brabus juga turut menggunakan komponen enjin baharu seperti crankshaft billet dengan stroke meningkat kepada 100 mm, rod omboh billet, omboh tempa yang lebih besar serta bore silinder yang diperbesarkan kepada 84 mm.

Sistem induksi paksaan juga telah direka semula menampilkan unit pengecas turbo baharu, unit pemampat yang lebih besar selain meningkatkan tekanan boost maksimum kepada 1.4 bar.

Mengakhiri modifikasi terhadap trenkuasa Rocket 900 ini adalah sistem kemasukan udara jenis ram-air daripada gentian karbon, sistem ekzos prestasi tinggi daripada keluli tahan karat, serta flap ekzos yang boleh dilaras secara elektronik.

 


Kesemua modifikasi di atas digandingkan dengan ECU yang dikalibrasi semula membolehkan Rocket 900 ini menghamburkan kuasa setinggi 888 hp, daya kilas 1,250 Nm yang masuk penuh dari putaran enjin 2,900 rpm.

Pun begitu, daya kilas maksimum dihadkan kepada 1,050 Nm bagi melindungi trenkuasa tersebut.

Dengan angka yang agak menakutkan itu, pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 2.8 saat, pecutan 0-200 km/j dalam 9.7 saat dan 0-300 km/j dalam 23.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 330 km/j.

 


Selain daripada itu, Brabus telah mereka kit badan yang lebar untuk Rocket 900 merangkumi fender flare yang mampu menambah lebar sebanyak 78 mm, barangan gentian karbon seperti sayap belakang, diffuser serta set rim Brabus Monoblock Z Platinum Edition bersaiz 21 inci hadapan dan 22 inci belakang.

Kemasan akhir termasuklah panel gentian karbon terdedah pada sesetengah tempat termasuklah cermin sisi, dan model pertama didatangkan dengan warna cat Stealth Grey.

Ruang dalaman Brabus Rocket 900 ini dihiasi dengan emblem 'Brabus Masterpiece' pada tempat duduk, selain memastikan kesemua 215 bahagian (dari suis kepada bezel) disaluti dengan bahan yang serupa seperti bahagian luaran.

 


Berita kurang baiknya, hanya 10 unit sahaja yang akan dibina dengan harga jualan bermula dari €427,000 (RM2.1 juta), tidak termasuk cukai dan yuran yang berkaitan.