Brembo Kini Tampil dengan Brek Kecil Berkuasa Tinggi untuk Basikal

oleh Qalif Latif|
Brembo jenama yang sinonim dengan sistem brek berprestasi tinggi dalam dunia automotif dan perlumbaan elit seperti Formula 1 dan MotoGP, kini memperluaskan keupayaannya ke dunia berbasikal lebih tepat lagi, basikal lumba lasak jenis downhill.

Brembo

Untuk kali pertama dalam sejarah, Brembo secara rasmi memperkenalkan sistem brek lengkap untuk jentera perlumbaan basikal khusus untuk pasukan Specialized Gravity Team yang bakal beraksi dalam Siri Perlumbaan Dunia UCI MTB 2025. Penampilan sulung sistem ini akan berlaku dalam acara Val di Sole pada 20 hingga 22 Jun 2025.

Walaupun sebelum ini pernah wujud basikal custom dengan brek Brembo, ini adalah penggunaan OEM rasmi pertama Brembo untuk kenderaan berasaskan kayuhan pedal.

Brembo

Kerjasama Strategik: Specialized + Öhlins + Brembo

Kerjasama ini tidak berlaku secara kebetulan. Specialized sudah lama menggunakan sistem suspensi dari Öhlins, satu lagi jenama premium yang juga berasal dari dunia perlumbaan. Menariknya, Öhlins baru sahaja diambil alih oleh Brembo beberapa bulan lalu. Maka, integrasi teknologi brek dan suspensi antara dua jenama ini kini semakin kukuh.

Sistem Brek Mini Tapi Berkuasa Tinggi

Brembo tidak hanya menampilkan kaliper merah ikoniknya. Sistem brek yang dibangunkan turut merangkumi:

  • Silinder induk brek (master cylinder) jenis paksi (axial) untuk roda hadapan dan belakang, dengan diameter 9 mm.

  • Tuil brek boleh laras dalam tiga aspek: nisbah tuil, jarak genggaman dan free stroke.

  • Kaliper jenis post-mount dengan empat piston aluminium berdiameter 18 mm yang diasingkan (isolated).

  • Hos keluli jalinan (braided steel) untuk prestasi tuil yang lebih konsisten.

  • Cakera brek tetap (fixed rotor) dengan permukaan yang diperbesarkan untuk penyejukan lebih efisien.
     

Brembo

Belum Dijual, Tapi Mungkin Bakal Tiba

Ketika ditanya sama ada kit brek ini akan ditawarkan kepada pengguna biasa, pihak Brembo menjawab bahawa kemasukan mereka ke pasaran berbasikal adalah bersifat strategik, bukan sekadar kolaborasi peluang. Buat masa ini, sistem ini hanya akan digunakan dalam perlumbaan, namun tiada halangan ia akan ditawarkan untuk pasaran pengguna pada masa depan.

Model Specialized Demo Race yang sedia ada di pasaran ketika ini dijual sekitar USD 7,100 (lebih kurang RM33,000), tetapi masih belum menggunakan brek Brembo sebaliknya dilengkapi sistem suspensi Öhlins.

Dengan kemasukan Brembo ke arena perlumbaan basikal, peminat basikal dan automotif kini boleh menantikan satu lagi teknologi prestasi tiggi dari dunia empat roda yang kini memasuki dunia dua roda berkuasa pedal.

SumberThe Drive – Brembo Brakes Are Going on Mountain Bikes Now

Tags

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia dikuasakan oleh nadi Chiron W16 yang telah diubahsuai supaya mampu menghasilkan kuasa setinggi 1…
Berita Global
Tidak lagi menampilkan sistem hidraulik seperti yang digunakan pada kebanyakan model kenderaan masa…
Berita Global
Brembo nampak peluang ini boleh diperluaskan untuk sistem brek terbaharu mereka yang digelar…