Buang cermin sisi boleh batalkan waranti motosikal di India

oleh Mohamad Hanif|
gambar hiasan.
Terdapat banyak cara untuk menjadikan motosikal anda lebih 'cool' dilihat atas jalan raya, namun cara yang paling mudah adalah dengan mencabut kedua-dua belah cermin sisi, atau membiarkan satu sahaja (mengikut selera masing-masing).

Di Malaysia, paling teruk pun kena saman dengan abang JPJ, namun di India anda tidak lagi boleh berbuat demikian.

Ini kerana menurut laporan daripada New Indian Express, Mahkamah Tinggi Madras mengarahkan pesuruhjaya pengangkutan Tamil Nadu meminta pengeluar dan pengedar kenderaan termasuk motosikal membatalkan jaminan sekiranya pelanggan didapati membuang cermin pandang belakang serta cermin sisi.

Arahan tersebut dibuat selepas peguam bela Ramkumar Adityan mengemukakan permohonan meminta mahkamah mengarahkan pihak berkuasa untuk mendenda penunggang yang menanggalkan cermin sisi mereka.

Beliau menambah, kesalahan membuang cermin sisi ini melanggar peraturan lalu lintas dan langkah sewajarnya perlu diambil untuk memastikan disiplin serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Ketua Hakim Sanjib Banerjee dan Hakim Senthilkumar Ramamoorthy berpendapat adalah perlu untuk mengarahkan para pengedar memastikan setiap kenderaan dijual dilengkapi dengan cermin sisi dan cermin pandang belakang.

Pengeluar kenderaan juga perlu memasukkan klausa yang menyebut jaminan kenderaan akan dibatalkan sekiranya pelanggan didapati membuang komponen cermin sisi (atau cermin pandang belakang).

Sumber: New Indian Express

Berita Berkenaan

Berita Global
Langkah tersebut kemudian diikuti oleh Audi menerusi model e-tron yang turut menggunakan teknologi…
Berita Global
Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh New York Post, terdapat sejumlah kenderaan di Manhattan…
Berita Global
Berdasarkan trend yang ditunjukkan oleh syarikat automotif semasa, tidak mustahil perkara yang…