Buffett Angkat Kaki Dari BYD, Tamatkan Pegangan Sejak Krisis Kewangan Global

oleh Qalif Latif|
Warren Buffett melalui syarikat pelaburannya, Berkshire Hathaway Inc, akhirnya menamatkan sepenuhnya pelaburan ikoniknya dalam pengeluar kenderaan elektrik gergasi China, BYD Co Ltd. Langkah ini menutup satu bab penting yang bermula sejak krisis kewangan global 2008, apabila Berkshire mula membeli saham syarikat itu dengan nilai berjumlah USD230 juta.

Menurut pemfailan terbaru, nilai pegangan BYD oleh anak syarikat tenaga Berkshire direkodkan pada sifar menjelang akhir Mac 2025. Ini berbanding nilai USD415 juta yang masih dicatatkan pada hujung 2024. Pendedahan ini mengesahkan bahawa Berkshire telah melepaskan baki pegangan yang ada, sekaligus menamatkan hubungan pelaburan selama 17 tahun.

Dari USD230 Juta Ke 20 Kali Ganda

Berkshire Hathaway mula melabur dalam BYD pada tahun 2008, dengan membeli kira-kira 225 juta saham yang ketika itu bersamaan 10% pegangan. Sejak itu, nilai saham BYD melonjak lebih 20 kali ganda, menjadikannya salah satu pelaburan paling berjaya dalam portfolio Berkshire.

Namun, bermula 2022, Berkshire secara berperingkat mula menjual saham BYD selepas harga saham syarikat berpangkalan di Shenzhen itu mencapai paras kemuncak. Kini, proses pelepasan pegangan tersebut sudah selesai.

Reaksi Dari Pihak BYD

CNBC sebelum ini menjadi pihak pertama melaporkan berita penjualan penuh ini pada Ahad lalu. Sementara itu, Berkshire tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi setakat ini.

Sebaliknya, Li Yunfei, Pengurus Besar Penjenamaan dan Perhubungan Awam BYD, tampil di laman Weibo untuk menyatakan penghargaan kepada Buffett dan Berkshire. “Terima kasih atas pelaburan, bantuan, dan kebersamaan sepanjang 17 tahun,” tulis beliau, sambil menekankan bahawa penjualan ini hanyalah transaksi biasa dalam dunia pelaburan saham.

Cabaran Terkini Buat BYD

Perpisahan ini berlaku ketika BYD sedang berdepan cabaran besar di pasaran domestik China. Syarikat yang digelar pesaing terdekat Tesla itu mencatatkan kejatuhan keuntungan suku tahunan pertama dalam tempoh lebih tiga tahun.

Jualan domestik yang merangkumi hampir 80% daripada jumlah penghantaran global BYD turut merosot empat bulan berturut-turut sehingga Ogos 2025. Susulan itu, syarikat mengurangkan sasaran jualan tahunannya sehingga 16%, daripada 5.5 juta kepada sekitar 4.6 juta kenderaan.

Situasi ini banyak dipengaruhi oleh kempen kerajaan China untuk mengekang perang harga dalam industri automotif, yang memberi tekanan besar kepada margin keuntungan pengeluar kereta elektrik.

Sumber: Reuters